Bekas penyerang berbisa kebangsaan, Safee Sali tampil dengan memberi beberapa nasihat yang dianggap sangat berguna untuk para pemain Harimau Malaya sebelum mereka menghadapi saingan Piala Asia 2023 di Qatar.
Terdahulu, Malaysia telah pun berjaya melayakkan diri secara merit ke saingan tersebut bawah kendalian Kim Pan-gon bagi menamatkan penantian selama 42 tahun untuk beraksi di kejohanan Piala Asia.
Tampil sebagai antara pasukan yang dianggap mampu membuat kejutan, jelas Malaysia kini mula mendapat banyak tumpuan daripada pengamal media dalam serta luar negara.
Apatah lagi skuad kendalian Kim ini berjaya untuk mengikat seri keputusan persahabatan tertutup membabitkan mereka bertemu salah satu negara terkuat di Asia iaitu Syria.
Walaupun begitu, Safee tampil untuk mengingatkan kepada para pemain negara supaya memberi fokus penuh untuk aksi sulung Malaysia serta tidak melayan sebarang provokasi netizen di media sosial.
Malah, bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga mahu para pemain negara lain menjadikan Arif Aiman sebagai penyuntik semangat selepas bintang muda itu antara diberi tumpuan untuk saingan Piala Asia tidak lama lagi.
“Dengan ‘highlight’ diberikan (liputan media), saya harap ia boleh menjadi penyuntik semangat kepada pasukan serta pemain supaya lebih yakin dengan keupayaan diri sendiri.
“Saya harapkan mereka akan pergi jauh dan jangan terganggu dengan sebarang provokasi di media sosial.
“Dia (Arif Aiman) adalah pemain muda yang akan menyerlah dalam perjuangan kali ini. Memang saya akui benda itu. Saya mengharapkan kita boleh pergi jauh,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh Harian Metro.
Pada masa sama, Safee juga berharap para pemain negara memberi fokus sepenuhnya pada aksi pertama mereka untuk berdepan Jordan pada 15 Januari ini.
“Harap kita (fokus) permainan demi permainan dengan perlawanan pertama menentang Jordan.
“Kita kena beri sehabis baik sebab main satu permainan bukan timbal balik, jadi tiap pemain kena buat yang terbaik dalam 90 minit (waktu perlawanan) untuk kutip mata maksimum,” katanya akhir sekali.
Menurut Safee lagi, beliau turut mengharapkan supaya Malaysia mampu memulakan kempen di saingan tersebut dengan baik, dengan turut membawa momentum kejayaan mereka mengikat Syria lalu menerusi keputusan 2-2.