Penyerang Petaling Jaya (PJ) City FC, Safee Sali menjelaskan yang tunggakan gaji telah merosakkan arena bola sepak Malaysia selain membebankan para pemain yang mengerah kudrat untuk pasukan.
Sebagai pemain ikonik dalam negara dengan pelbagai pengalaman dalam dan luar negara, penyerang berusia 35 tahun ini juga tidak terlepas daripada masalah tunggakan gaji – ketika bersama Perlis.
Pernah beraksi bersama beberapa pasukan besar di dalam Malaysia seperti Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT), selain berkelana ke Liga Indonesia, mencipta sensasi di Pelita Jaya FC, akhirnya Safee Sali terperangkap dengan janji manis Perlis pada musim 2019.
Sebagai pemain profesional yang selama ini menerima gaji setiap bulan tanpa masalah, itu adalah pengalaman pertamanya beraksi tanpa menerima gaji sejak bulan pertama bersama Singa Utara.
“Situasi yang berlaku ketika di Perlis membuka mata saya, saya rasa tidak berdaya walaupun saya ada nama dalam industri. Saya mula terfikir mengenai nasib pemain-pemain muda dan berpengalaman yang bergelut dengan komitmen kewangan,” jelasnya di The Star.
“Kami tiada ijazah ataupun pekerja mahir sesuatu bidang yang boleh tukar kerja dengan mudah. Undang-undang bola sepak berbeza, kami hanya boleh menyertai pasukan ketika jendela perpindahan iaitu hanya dua kali setahun,” tambahnya lagi.
Dengan jumlah pasukan bersaing dalam liga yang terhad serta faktor peningkatan usia, para pemain tampak kehilangan arah apabila pasukan mula liat dan culas dalam membayar gaji.
“Selain itu, persaingan untuk tempat amat sengit kerana hanya terdapat 12 pasukan di Liga Super dan Liga Premier.
“Para pemain tidak bergaji mewah ketika mencapai usia puncak tetapi harus diingat yang kitaran hidup pemain adalah sekitar 15 tahun. Semakin berusia, semakin berkurangan gaji mereka.
“Jika dalam industri lain, semakin lama anda bekerja, semakin naik gaji anda,” ujarnya lagi yang kini merupakan Presiden Persatuan Pemain-Pemain Bola sepak Profesional Malaysia (PFAM).
Atas pelantikannya baru-baru ini dan pengalamannya bersama Perlis, Safee Sali bertekad mahu membantu rakan-rakan dalam indsutri agar tidak lagi tertindas dengan majikan sebegini.
Kredit Foto: Stadium Astro