Baru-baru ini timbul khabar angin mengenai kepulangan bekas penyerang skuad Harimau Malaya, Safee Sali kepada pasukan lamanya, Selangor bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Walaubagaimanapun, pemain yang berusia 34 tahun itu berkata kepada Berita Harian, menafikan akan kembali ke pasukan negeri kelahirannya sambil menjelaskan beliau sebenarnya tiada dalam perancangan jurulatih baharu Red Giants, B Satiananthan.
“Saya tidak mungkin ke Selangor kerana sudah dimaklumkan saya tiada dalam perancangan mereka,” katanya.
Kali terakhir Safee menyarung jersi Selangor adalah pada tahun 2010. Namanya kemudian meletup selepas muncul sebagai penjaring terbanyak Piala AFF 2010 ketika mewakili skuad Harimau Malaya sehingga menarik minat kelab dari Indonesia, Pelita Jaya FC.
Selepas berkelana ke Indonesia selama 2 tahun, beliau kemudian kembali ke tanah air menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) dan menjulang trofi Liga Super 3 kali berturut-turut bersama skuad Harimau Selatan itu.
Safee juga turut mengakui masih mencari pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmatnya musim depan.
“Sebelum ini ada berbincang dengan beberapa pasukan tapi belum ada yang serius jadi saya masih terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pasukan berminat.
“Berdasarkan keupayaan ketika ini, saya percaya masih lagi boleh bersaing di peringkat kompetitif,” katanya.
Safee Sali mahu mat yo ulangi pencapaian Piala AFF 2010
Ketika diminta mengulas mengenai kempen Piala Suzuki AFF yang sedang berlangsung ketika ini, Safee meletakkan harapan tinggi kepada bekas gandingannya, Norshahrul Idlan Talaha atau ‘Mat yo’ untuk mengulangi semula pencapaian yang pernah dikecapi oleh mereka.
Beliau juga yakin Norshahrul akan meledak gol lagi apabila turun menentang Thailand dalam aksi separuh akhir pertama bermula Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Saya harap Mat Yo dapat meleburkan rekod jaringan kami itu sekali gus dapat membawa Malaysia ke final. Saya percaya dia boleh melakukannya kerana dia kini berada di prestasi terbaik.
“Agak terkejut dengan prestasi Mat Yo kerana dalam saingan Liga Malaysia, prestasinya tidak begitu menyerlah tapi akhir-akhir ini dia berjaya membuktikan kemampuannya. Namun kelebihan yang ada pada Mat Yo adalah kelincahan dan naluri pemusnahnya,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Safee adalah antara tonggak yang beraksi dalam pasukan Harimau Malaya ketika menewaskan Thailand 3-2 pada final Piala AFF 2014 di Bukit Jalil namun dikecewakan dengan keputusan agregat 4-3.