Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menyatakan mereka dihubungi oleh Safee Sali – yang meminta khidmat nasihat mereka berkenaan dengan isu tunggakan gaji. Pemain tersebut masih belum menerima gaji pertama beliau sejak menyertai pasukan Singa Utara pada Disember 2018.
Kini Safee Sali sudah 2 bulan sudah tidak menerima gaji beliau. Semalam Stadium Astro menyiarkan kenyataan Safee Sali yang mengingatkan agar PFA membayar gaji mengikut apa yang telah dijanjikan. Ini termasuklah tunggakan gaji pemain PNL2 dan tunggakan daripada 2016 lagi.
Presiden PFAM, Rezal Zambery Yahya kecewa dengan PFA yang mengulangi keculasan mereka dalam isu gaji seperti mana pada musim 2016 dan 2017 – meskipun tampuk pengurusan organisasi tersebut sudah bertukar tangan.
Gaji pertama Safee Sali sepatutnya dibayar pada 7 Januari lalu. Namun ianya masih belum diterima oleh pemain itu. Dan esok sudah masuk Februari.
Rezal menyatakan beliau bukan mempertikaikan status Perlis yang diberikan promosi khas ke Liga Perdana. Namun beliau risau pengurusan PFA akan mengulangi isu yang sama. Ini sudah pastinya akan menyeksa para pemain yang tidak mendapat gaji seperti yang dijanjikan.
Akhir sekali Rezal menggesa PFA menyelesaikan segera isu tunggakan gaji bagi melancarkan persiapan mereka dalam menghadapi musim 2019.