Quantcast

BERITA

Safawi Rasid: Ramai Pemain Mampu Tampung Ketiadaan Sumareh

Pemain sandaran skuad kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid tidak melihatkan ketiadaan Mohamadou Sumareh menjadi masalah besar buat skuad negara menjelang aksi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Jordan, malam ini.

Pemain naturalisasi berusia 24 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian paha ketika sesi latihan skuad kebangsaan memasuki hari kedua.

Bercakap pada sidang media pra-perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, Safawi yakin dengan kualiti rakan sepasukan yang lain bagi menggantikan tempat Sumareh.

”Bagi saya, saya tak tahu akan beraksi atau tidak esok [malam ini], tak pasti tetapi sekiranya [Mohamadou] Sumareh tiada, ramai lagi pemain yang dapat duduk di tempatnya seperti saya, Akhyar [Rashid], Hadin [Azman] dan Shahrel Fikri.”

”Saya rasa itu tidak menjadi masalah buat pasukan sebab ramai pemain yang boleh bantu di bahagian sayap.”

Dalam pada itu, Safawi jelas mahu meneruskan aksi cemerlang seperti yang telah dipamerkan bersama kelab diwakilinya dalam saingan domestik.

”Saya cuba kekalkan rentak macam mana saya bermain untuk Johor Darul Ta’zim dan akan bawa ke sini untuk membantu dan bagi saya individu tak begitu penting, saya rasa kerjasama berpasukan lebih penting.”

Perlawanan menentang Jordan malam ini bakal menjadi medan terbaik buat skuad negara dalam memperkasakan pasukan menjelang aksi pembukaan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia di Jakarta pada 5 September nanti.