Musim 2022 mungkin bukan milik Safawi Rasid selepas gagal mendapatkan minit permainan yang memuaskan bersama pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
Beliau yang merupakan pemenang anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Liga Malaysia (Liga-M) bagi tahun 2018 dan 2019 bergelut untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, apatah lagi dengan kemunculan bintang muda Arif Aiman Hanapi.
Ia membawa kepada berita penghijrahannya ke negara jran dengan menyertai Ratchaburi secara pinjaman. Masa akan menentukan sama ada langkah tersebut baik atau tidak buat kariernya. Namun Thai League 1 diakui sebagai liga paling kompetitif di rantau ni.
Ketika deretan pemain JDT memilih untuk dikecualikan daripada tugasan bersama skuad kebangsaan dalam kempen Piala AFF 2022, Safawi memilih jalan sebaliknya. Malah martabatnya diangkat oleh Kim Pan-gon selaku ‘jeneral’ pasukan.
Sejak perlawanan pertama, pemain berusia 25 tahun itu telah membuktikan beliau berada pada kelasnya yang tersendiri.
Safawi Rasid Mahu Jadikan 2023 Tahun Kebangkitan Prestasinya
Ada satu perkara tentang Safawi yang mungkin tidak boleh sesiapa pun menafikannya.
Sewaktu juruhebah menyebut satu persatu pemain kesebelasan utama sebelum aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 menentang Thailand, sorakan paling gemuruh di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) adalah ketika giliran nama Safawi diumumkan.
Ia merupakan isyarat jelas bahawa pemain kelahiran Dungun ini masih kekal sebagai pemain paling popular dalam kalangan penyokong Malaysia.
Safawi yang memakai liitan kapten di atas padang sebelum diganti oleh Haqimi Azim Rosli pada minit ke-69 berjaya memimpin rakan sepasukan untuk menampilkan aksi lima bintang dan seterusnya menundukkan skuad Gajah Perang yang merupakan pasukan juara bertahan kejohanan.
Hari demi hari, Kim Pan-gon telah membuktikan beliau adalah individu paling tepat yang dipilih bagi mengembalikan maruah bola sepak Malaysia.
Seluruh peminat bola sepak tanah air pastinya mengharapkan karier Safawi di peringkat kembali menyinar dalam masa terdekat untuk terus menjadi ayam tambatan buat skuad negara.