Pemain jentera serangan skuad negara, Safawi Rasid enggan menjadikan keadaan permukaan padang yang kurang memuaskan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pertemuan menentang Nepal, kelmarin sebagai alasan beliau tidak dapat menjaringkan lebih banyak gol.
Keadaan permukaan padang di Bukit Jalil ketika aksi persahabatan itu sememangnya tidak disenangi kedua-dua pengendali, Tan Cheng Hoe dan Johan Kalin.
Safawi memiliki deretan peluang terutamanya pada babak pertama untuk mencipta jaringan namun usaha beliau digagalkan kecemerlangan penjaga gol pasukan pelawat, Kiran Chemjong.
Bagaimanapun bagi pemain berusia 22 tahun kelahiran Dungun itu tidak melihat keadaan tersebut sebagai alasan buatnya.
Safawi mengakui beliau perlu terus berusaha untuk memantapkan aspek penyudah ketika beraksi.
“Mungkin bukan rezeki saya, walaupun dapat banyak peluang gol. Saya kena teruskan usaha dan tajamkan penyudah di depan pintu gol dalam latihan selepas ini.
“Keadaan padang memang menjejaskan banyak umpanan ke hadapan gol lawan, tetapi itu bukanlah alasan utama, saya harap apabila menentang Timor Leste (Jumaat ini), kita akan dapat padang dalam keadaan yang terbaik,” jelas Safawi bercakap kepada Utusan Online.
Pada perlawanan bertemu Nepal, Safawi menemui sentuhan jaringan pada minit ke-51 menerusi sepakan penalti selepas Akhyar Rashid dijatuhkan dalam kawasan penalti.
Satu lagi gol dicipta oleh Shahrul Mohd Saad yang menanduk masuk bola hantaran sepakan percuma dari Nor Azam Azih pada minit ke-82.
Cabaran sebenar Safawi dan rakan sepasukan adalah di pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste pada 7 dan 11 Jun ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Foto: FAM