Quantcast

BERITA

Safawi Anggap Ledakan Lawan Tajikistan Sebagai Motivasi

Sebelum ini timbul keraguan mengenai kemampuan Safawi Rasid untuk menghasilkan jaringan, baik ketika beraksi bersama JDT dan juga pasukan negara.

Pada Oktober lalu, pemain ini gagal menemui sentuhan jaringan dalam tiga perlawanan antarabangsa, masing-masing bertemu Indonesia, UAE, dan juga Vietnam.

Keletihan dianggap sebagai salah satu faktor utama yang membelengu prestasi beliau.

Foto: FAM

Namun kini nama Safawi sekali lagi menjadi igauan barisan pertahanan lawan, bermula dengan hatrik menentang Selangor di separuh akhir kedua Piala Malaysia yang berlangsung di Shah Alam.

Ia diikuti oleh sepakan percuma cantik untuk membantu JDT menewaskan Kedah di perlawanan akhir pertandingan yang sama.

Terbaru ialah gol kemenangan ‘trademark’ ketika membantu pasukan kebangsaan menewaskan Tajikistan 1-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam tadi.

Jaringan di pentas antarabangsa pada malam tadi adalah yang pertama buat Safawi selepas kali terakhir menjaringkan gol buat pasukan negara ketika menang 7-1 ke atas Timor Leste pada aksi ‘playoff’ Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun lepas.

Sentuhan dari Safawi tiba tepat pada masanya, tatkala dua perlawanan membabitkan pasukan negara menentang Thailand (14 November) dan Indonesia (19 November) dianggap penting untuk memastikan kemaraan pasukan negara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022.

“Dah beberapa perlawanan untuk pasukan kebangsaan saya tak menjaringkan gol,” kata beliau kepada pemberita selepas tamat perlawanan semalam.

“Saya berterima kasih kepada semua yang menyokong memberi semangat kepada saya, saya gembira untuk kembali menjaringkan gol.

“Mungkin ini sebagai motivasi yang bagus untuk saya – untuk dapatkan keyakinan lagi bagi perlawanan bertemu Thailand dan Indonesia.

“Macam perlawanan sebelum ini kita banyak cipta peluang tapi tidak menyempurnakannya jadi itu yang perlu diperbaiki pasukan.

“Kita ada kekuatan di bahagian sayap kiri serta kanan dan ia ditambah dengan pertahanan kedua-dua belah posisi yang baik. Itu kelebihan kita untuk menjaringkan gol,” tambahnya.