Penyerang Liverpool, Sadio Mane telah menjalani pembedahan untuk memulihkan kecederaan tangan yang dialami ketika tugasan antarabangsa bersama Senegal.
Perkara itu disahkan sendiri oleh pihak kelab semalam. Kecederaan tersebut turut menyebabkan Mane terlepas perlawanan Senegal menentang Sudan pada Selasa lalu yang berkesudahan dengan kemenangan 1-0 buat skuad Les Lions de la Téranga.
“Liverpool FC boleh mengesahkan bahawa Sadio Mane telah menjalani pembedahan untuk merawat kecederaan tangan yang dialaminya ketika tugasan antarabangsa bersama Senegal.
“Pembedahan tersebut dijalankan oleh sebuah hospital di barat laut dan dipantau oleh pakar perubatan kelab telah berjaya dan berjalan dengan lancar.
“Proses pemulihan Mane akan terus dipantau pada hari-hari berikutnya,” ujar kenyataan tersebut.
Sadio Mane today underwent a procedure on a hand injury sustained while on international duty.https://t.co/eXKeTNPpD8
— Liverpool FC (@LFC) October 17, 2018
Sadio Mane bukan satu-satunya pemain Liverpool yang terkesan dengan kecederaan selepas melalui tugasan antarabangsa bersama negara masing-masing.
Pemain pertahanan, Virgil van Dijk dibenarkan pulang meninggalkan kem Belanda yang kemudiannya mencatatkan keputusan seri 1-1 dengan Belgium, dilaporkan mengalami kecederaan rusuk.
Namun kecederaan tersebut sebenarnya mulai dialami oleh Van Dijk dalam perlawanan bersama Liverpool ketika menentang Southampton.
Mohamed Salah dan Naby Keita turut dilaporkan mengalami kecederaan ketika bersala pasukan negara masing-masing, tetapi kecederaan kedua-dua pemain dilaporkan tidak serius setakat ini.
Liverpool yang kini berada di tangga ke-3 Liga Perdana Inggeris akan berkunjung ke Huddersfield pada hujung minggu ini. Skuad kendalian Jurgen Klopp itu kemudiannya akan berhadapan dengan Red Star Belgrade dalam saingan UEFA Champions League pada minggu hadapan.