Kelibat penyerang import Sabah, Saddil Ramdani antara bakal menjadi tumpuan utama pasukan tersebut untuk menghadapi wakil dari Singapura iaitu Hougang United bagi saingan AFC bagi peringkat Kumpulan H.
Selepas tampil dengan begitu konsisten pada musim lalu dalam persaingan Liga Malaysia (Liga M) musim lalu, Sabah secara rasminya menjadi antara pasukan yang berjaya melayakkan di ke pentas AFC selain Terengganu.
Bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee, Sabah turut membuat beberapa perubahan kecil pada musim ini dengan turut menandatangani pemain baharu untuk memperkuatkan pasukan tersebut.
Pastinya ketika ini, mereka ingin melakar keputusan positif pada perlawanan sulung peringkat kumpulan, apatah lagi mempunyai kelebihan beraksi di laman sendiri iaitu Stadium Likas.
Untuk perlawanan malam ini, beberapa pemain Sabah dilihat bakal mencuri tumpuan dalam misi mereka untuk mendapatkan tiga mata pertama dengan menewaskan wakil dari Singapura itu.
Saddil Ramdani
Antara yang menjadi tumpuan pastinya terarah kepada pemain lincah mereka iaitu Saddil Ramdani dalam usaha Sabah untuk mendapatkan jaringan menerusi kelebihan dimilik beliau.
Saddil bukan lagi satu nama asing dalam saingan bola sepak di Malaysia, selepas persembahannya mula mendapat pujian sejak beliau mewakili Sri Pahang beberapa musim lalu.
Bersama Sabah sejak dua tahun lalu, pemain ini jarang mengecewakan selepas Saddil membuktikan beliau selaku tonggak paling berbaloi pernah mewakili pasukan tersebut di posisi serangan.
Selain lincah dan pantas mengawal bola untuk mengatasi lawan, Saddil juga mempunyai kepakaran cukup tinggi untuk meledak gol dari jarak jauh atau situasi sepakan percuma.
Jelas pemain kebangsaan Indonesia itu pastinya akan menjadi pertaruhan penting Kim Swee untuk merencana serangan utama buat Sabah pada malam ini.
Darren Lok
Selain Saddil, seorang lagi pemain yang bakal mencuri tumpuan untuk mendapatkan jaringan buat Sabah terarah kepada penyerang kebangsaan Malaysia kini iaitu Darren Lok.
Seperti diketahui, Lok sedang melalui satu lagi musim terbaik beliau untuk beraksi di pentas AFC buat julung kali selepas cemerlang selaku antara penjaring berbisa tempatan pada musim lalu ketika mewakili Petaling Jaya City (PJ City).
Selain tajam di hadapan gol, kelebihan Lok terarah kepada stamina beliau yang cukup tinggi untuk membuat larian deras bagi memberi tekanan buat pertahanan lawan membuat kesilapan.
Jika pemain ini berada dalam prestasi kemuncak, maka Hougang perlu berwaspada terutama buat barisan pertahanan mereka untuk mengawal pemain tersebut.
Rizal Ghazali
Pertahanan kental Sabah ini antara yang cukup konsisten sejak musim lalu untuk menjadi ‘kereta kebal’ buat The Rhinos dalam setiap perlawanan dihadapinya.
Bekas pertahanan Kedah Darul Aman (Kedah) ini bukan sahaja cukup berdisiplin mengawal posisinya selaku pertahanan kanan Sabah, malah beliau juga aktif menyokong serangan pasukan tersebut menerusi kelincahannya.
Pengalaman Rizal yang pernah beraksi bersama skuad kebangsaan beberapa tahun lalu pastinya akan digunakan sebaik mungkin oleh Kim Swee untuk memastikan keseimbangan pasukan ketika bertahan atau menyerang.