Sabah dilaporkan mengalami masalah yang dianggap sangat kritikal kini dengan membabitkan para pemain mereka sebelum aksi Liga Super seterusnya berlangsung dengan membabitkan kelab berkenaan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).
Hadir dengan reputasi cukup baik pada tahun lalu, ianya gagal dipertahankan untuk awal musim ini apabila mereka hadir dengan pelbagai isu termasuk masalah dalaman.
Daripada segi prestasi semasa, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee telah merekodkan dua kemenangan dan satu kekalahan daripada tiga perlawanan dihadapi di pentas Liga Super.
Walaupun berjaya melayakkan diri ke pusingan suku akhir Piala FA 2024/2025, pasukan itu tampil serba goyah apabila diaibkan Terengganu menerusi kekalahan 0-7 secara agregat.
Selain isu prestasi kurang konsisten, pasukan itu juga dilaporkan mengalami masalah tunggakan gaji sehingga ia turut mempengaruhi fokus para pemain di atas padang.
Lebih menyedihkan, The Rhinos turut kehilangan pemain import dari Brazil iaitu Ramon Machado yang menamatkan kontrak bersama kelab tersebut lebih awal.
Untuk bertemu JDT di laman sendiri hari ini, laporan terbaharu menyatakan pasukan tersebut terus tempang dengan ketiadaan dua pemain serangan utama mereka.
Dua pemain tersebut ialah penyerang utama Harimau Malaya, Darren Lok serta bintang Indonesia, Saddil Ramdani atas isu kecederaan dihadapi.
Ianya disahkan sendiri oleh pengendali kelab tersebut dengan menyatakan status semasa kedua pemain ini berkemungkinan tidak dapat dibawa turun bertemu Harimau Selatan kerana isu kecederaan.
Walaupun begitu, pengendali berpengalaman berkenaan menyatakan sudah pun bersedia dengan pemain gantian akan mengisi kekosongan tersebut.
“Kedua-dua pemain ini masih mengalami kecederaan dan sudah pasti ia akan memberi satu cabaran besar, namun beberapa pemain lain bersedia mengambil alih posisi mereka.
“Apa yang penting mereka perlu mengambil peluang ini sebaik mungkin termasuk memberi komitmen tinggi selain menimba pengalaman serta bersiap sedia mental dan fizikal bermain dengan pasukan ternama Liga Super.
“Kita sedar ia bukan satu perkara yang mudah tetapi kita harus memberikan saingan hebat serta memastikan Sabah FC dapat beraksi dengan lebih baik terutama selepas tewas dua perlawanan dengan Terengganu baru-baru ini,” kata beliau menerusi laporan Harian Metro.
Pada masa sama, Kim Swee turut menyatakan segala isu membelenggu pasukan tersebut sudah pun diselesaikan dan berharap prestasi pemain mampu ditingkatkan kembali pada perlawanan menentang JDT.