Sabah & Selangor Pencabar Utama Untuk Hentikan Dominasi JDT?

Liga Super

Sembilan musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) begitu selesa mendakap Liga Super sehingga setiap musim, mereka begitu yakin piala itu akan terus berada di dalam almari pasukan dari Selatan ini.

Untuk musim ini, pasukan mana yang mampu menghentikan dominasi tersebut? Jika berjaya, ia akan mencipta sejarah tersendiri di Liga Super.

Jika keputusan pramusim setiap pasukan menjadi ukuran, ada beberapa pasukan yang boleh menjadi pencabar sekurang-kurangnya menyukarkan perjalanan Harimau Selatan untuk muncul juara liga nanti.

Antaranya adalah Sabah di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee. Beberapa aksi persahabatan di Thailand dan di Sabah, memperlihatkan pasukan ini berada di landasan terbaik untuk menjadi pesaing terkuat di dalam liga.

Musim 2023, pihak pengurusan berjaya mendapat beberapa khidmat pemain terbaik Liga Malaysia (Liga M) seperti penyerang kebangsaan, Darren Lok, Daniel Ting, S. Kumaahran, Irfan Zakaria dan beberapa lagi pemain lain yang dijangka akan membantu skuad Badak menjadi lebih konsisten ditambah dengan mereka akan bersaing di pentas Piala AFC musim ini.

Jurulatih kelahiran Melaka ini juga dilihat bijak memancing pemain apabila berjaya mengumpulkan beberapa anak didik yang pernah berkasi dibawah kendaliannya sebelum ini dan sudah pasti ia akan memudahkan dirinya mengatur taktikal terbaik buat pasukan.

Biarpun dikatakan membariskan ramai pemain berusia atau kuda tua tetapi ia bukanlah kekurangan sebaliknya adalah kelebihan buat pasukan dari Borneo ini kerana pengalaman yang ada pada setiap pemain tersebut mampu membimbing pemain muda untuk mendapatkan keputusan positif.

Baddrol Bakhtiar, Amri Yahyah dan Khairul Fahmi Che Mat antara pemain ‘otai’ bagi Kim Swee untuk membantu beliau memenangi sekurang-kurangnya satu piala.

Pemain import yang bermain di posisi penyerang, Jacob Njoku pula wajib diberi perhatian kerana naluri pemusnah beliau sangat tajam.

Rekod bersama beberapa pasukan sebelum ini membuktikan Sabah membuat pilihan tepat memilih dirinya untuk menggantikan Jose Embalo yang kurang menjadi ketika bersama Sabah.

Seterusnya Selangor juga mampu tampil selaku calon juara liga dan mampu untuk merebut slot ke Piala AFC musim hadapan.

Setiap tahun pasukan ini sentiasa menjadi pilihan untuk merebut kejuaraan dan moga tahun ini ia benar-benar terjadi.

Selangor telah diperkuatkan dengan beberapa pemain kebangsaan seperti Faisal Halim, V. Ruventhiran, Khuzaimi Piee dan beberapa pemain import terbaik iaitu Ayron del Valle yang merupakan bekas penjaring terbanyak di Liga Colombia.

Malah, sebahagian besar pemain kebangsaan yang berjuang di Piala AFF baru-baru ini berada dalam pasukan Selangor sekali gus membuktikan mereka akan tampil jauh berbeza berbanding musim lepas.

Semenjak berada di bawah kepimpinan Tan Cheng Hoe, Gergasi Merah telah tampil dengan permainan yang lebih kemas dan teratur selain menjadi pasukan yang sukar untuk dikalahkan oleh pasukan lain.

Kejayaan ke pentas akhir Piala Malaysia musim lepas juga merupakan amaran awal dari Cheng Hoe buat pasukan lain.

Pengendali berusia 54 tahun ini juga bakal bergabung kembali bergabung bersama pembantunya yang pernah mencipta kejayaan di Kedah sebelum ini iaitu Ramon Marcote.

Ramuan dua pengendali ini pasti dinantikan oleh peminat setia mereka.

Keputusan pramusim bukanlah ukuran sebenar kerana waktu ini kebanyakan jurulatih masih mencuba sesuatu seperti taktikal yang sesuai, pemain yang layak berada di skuad utama selain mencari keserasian dalam pasukan.

Misalnya Kedah Darul Aman (Kedah), dalam aksi mereka di Turkiye gagal mencatat sebarang kemenangan dan jika ia menjadi ukuran utama, sudah pasti Nafuzi Zain menghadapi kesukaran dalam saingan liga nanti.

Mungkin mereka tewas dalam perlawanan persahabatan dan boleh jadi Kedah ingin menyimpan senjata rahsia untuk mengejutkan lawan.

Pokok pangkalnya, mampukah Sabah dan Selangor ini menjadi pencabar terkuat di dalam liga nanti? Atau akan ada kejutan dari pasukan lain di penghujung musim nanti?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN