Suka atau tidak, Sabah perlu mencipta kebangkitan pada aksi Liga Super hari ini dengan pertemuan seterusnya menbabitkan pasukan itu menentang Negeri Sembilan di Stadium Likas.
Beraksi di laman sendiri pastinya menjadi suatu kelebihan buat Sabah dan peluang tersebut tidak boleh dilepaskan mereka demi meraih kembali 3 mata penting sebagai tanda kebangkitan.
Apa tidaknya, skuad The Rhinos tampil dengan prestasi cukup mengecewakan sejak beberapa aksi lalu selain mereka turut gagal untuk melayakkan diri separuh akhir Piala FA musim ini.
Selain itu, pasukan tersebut juga dilaporkan turut mengalami isu dalaman daripada segi tunggakan gaji sehingga is dikatakan telah memberi kesan kepada prestasi para pemain.
Rekod menyaksikan Sabah sebelum ini merekodkan tiga kekalahan secara berturut-turut dengan mempamerkan aksi kurang menyakinkan.
Daripada segi statistik pula, pasukan tersebut telah pun dibolosi 10 jaringan dan hanya mampu merekodkan satu gol sahaja daripada tiga aksi diharungi.
Pastinya ia menjadi kerisauan dalam kalangan peminat untuk melihat pasukan tersebut kembali bangkit daripada tiga kekalahan lalu dihadapi mereka.
Apatah lagi Negeri Sembilan juga masih segar dengan kemenangan 2-0 dicatat mereka sewaktu berdepan cabaran Sri Pahang di gelanggang lawan.
Walaupun begitu, pengendali pasukan iaitu Datuk Ong Kim Swee memasang tekad untuk kembali bangkit meraih kemenangan pada perlawanan bakal dihadapi mereka hari ini.
Menurut Kim Swee, skuad kendaliannya perlu meraih keputusan positif walaupun menyedari akan cabaran bakal diberikan oleh Negeri Sembilan bawah kendalian Azzmi Aziz.
“Sebelum ini, kita tewas kepada TFC dan harus melupakan bab Piala FA. Tempoh hari, Sabah FC tewas kepada JDT, jadi kita perlu memberi tumpuan semula kepada perlawanan Liga Super.
“Perlawanan menentang NSFC sangat penting untuk kita menambah keyakinan dan memastikan Sabah FC tidak lagi kehilangan mata untuk memperbaiki kedudukan dalam iga,” katanya menerusi Harian Metro.
Pada masa sama, Kim Swee juga menyatakan beberapa pemain muda kelab tersebut turut menjalani latihan bersama barisan senior dan ada kemungkinan turut bakal dibawa turun beraksi.