Sabah bakal menghadapi satu lagi aksi Liga Super malam ini, dengan perhitungan seterusnya membabitkan pasukan tersebut bertemu Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV dalam misi mendapatkan tiga mata.
Sebelum itu, Sabah telah pun dikejutkan oleh Perak ketika mereka mencatat kekalahan tipis 0-1 di Ipoh bagi saingan suku akhir Piala Malaysia 2023 dan secara agregat 2–3.
Pastinya pasukan tersebut mahu menaikkan kembali motivasi mereka selepas kekalahan tersebut dengan menjadikan Kelantan sebagai sasaran untuk aksi Liga Super malam ini di gelanggang lawan.
Untuk rekod, Sabah menjadi antara pasukan yang berjaya mencipta kemenangan besar ketika bertemu Kelantan dengan The Rhinos mencatat keputusan 6-1 ketika aksi berlangsung di Likas pada 19 April lalu.
Enam gol Sabah ketika itu diledak oleh Daniel Ting hasil dua jaringan, dan masing-masing melalui Dominic Tan, Baddrol Bakhtiar, Stuart Wilkin, serta Telmo Castanheira dengan aksi cukup memberansangkan.
Satu gol Kelantan pula ketika itu berjaya dicatat menerusi bekas pemain tengah import mereka musim ini, Miguel Cifuentes yang kini sudah pun menjadi tonggak terbaharu Sabah sejak pertengahan musim 2023.
Pastinya Cifuentes akan menjadi tumpuan utama pada perlawanan ini kerana beliau sudah pun menjadi sebahagian daripada pemain Kelantan pada musim pertamanya di Malaysia sebelum bersama Sabah.
Selain rekod tersebut, Cifuentes juga memainkan peranan cukup penting untuk mengimbangi kekuatan Sabah di posisi tengah serta serangan dengan begitu berkualiti sehingga kini bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.
Nasib Kelantan pula pastinya akan terus menjadi tanda tanya malam ini dalam kalangan penyokong bola sepak Malaysia, jika pasukan tersebut akan terus menjadi mangsa belasahan seperti sebelum-sebelum itu.
Hadir dengan pelbagai masalah sejak awal musim, kini The Red Warriors lebih bergantung harap kepada bakat-bakat muda di skuad utama pada baki saingan Liga Super.
Beraksi di laman sendiri, ianya kini bukan lagi satu kelebihan buat skuad kendalian Angel Alfredo Vera, kerana mereka masih buntu untuk mencapai sesuatu positif dalam permainan.
Walaupun pengendali tersebut mempunyai idea untuk membuat percaturan dalam permainan Kelantan, kualiti pemain yang dimiliki beliau kini jelas membataskan segalanya.
Apapun, beliau perlu memikirkan suatu solusi terbaik untuk sekurangnya cuba meraih keputusan seri atau tidak menjadi mangsa belasahan di halaman sendiri.