Peminat pasukan Sabah pastinya merindui zaman generasi Emas tahun 1996. Saya sudah mula mengikuti perkembangan pasukan bolasepak negeri kelahiran saya ini pada era penghujung 1980an lagi.
Era di mana Micheal Vana menjadi import utama, Matlan Marjan masih muda dan Sabah terkenal dengan penyokong yang sangat fanatik. Sorakan Likas di stadium keramat sabah ketika itu sentiasa membuatkan pasukan lawan longlai.
Corak permainan dengan kepantasan dan kekuatan serta turut diperkuatkan dengan sorakan menggila penyokong Sabah membuatkan arus serangan bagai bah besar melanda pasukan pelawat.
Inilah yang menyebabkan Sabah ketika era tersebut sangat sukar untu ditumpaskan di Stadium Likas selain dari pasukan pelawat terpaksa bermain petang yang panas dan mabuk kapal terbang yang belum kunjung hilang.
Itulah Stadium Likas, Kota Kinabalu. Stadium kebanggaan peminat fanatik bola sepak Sabah yang kini mampu memuatkan hampir 40 ribu penonton.
Mengimbau skuad generasi emas 1996 sebagai pasukan gergasi tanah air.
Ketika itu, pada tahun 1995 Sabah baru sahaja memenangi Piala FA dan berada di puncak liga 7 perlawanan tanpa kalah, Sabah di kejutkan dengan kes rasuah. Saya tidak mahu sentuh isu itu. Sudah basi. ‘Bangas orang sabah bilang’.
Tapi setahun selepas itu Sabah diperkuatkan dengan pemain pemain baru. Kehilangan ‘megastar’ Sabah diganti dengan gandingan penyerang Suharmin Yusof dan Mohd Jaya Kassim serta Scott Ollerenshow.
Sabah juga diperkuatkan dengan ‘The Fotress’ Khairul Azman Mohamed yang berada di puncak prestasi dan jentera pertahanan dikepalai oleh Veselin Kovacevic. Pemain pertahanan bertubuh sasa itu cukup diminati oleh peminat Sabah kerana keras dan tegas ketika mengemudi pertahanan.
Malah, Khairul azman yang terkenal lantang dalam menegur kesilapan rakan juga amat menghormatinya. Kalau kredit untuk pemain paling rajin sudah pasti di beri kepada pemain import kacak dari Yugoslavia Seslija Milomir.
Dimana sahaja terdapatnya bola. Di situ ada Milomir. Seorang pemain yang sangat menghiburkan. Pemain inilah sebenarnya yang menjadi penggerask buat pasukan yang mengikut rentak sorakan penyokong.
Semakin kuat jeritan penyokong maka semakin deras serangan Sabah yang dikemudi Milomir. Dan kredit khusus buat Scott ‘Mesin Gol’ Ollerenshaw yang menjaringkan 100 gol hanya dalam 3 musim paling indah beliau bersama Sabah.
Bertubuh kecil dan tidak dipandang ketika pemilihan di Kuala Lumpur. Tetapi menjadi penyerang paling digeruni Liga Malaysia dengan hampir 30 gol setiap musim.
Selain itu beberapa pemain seperti Gapor Mohamad, Burhan Ajui, Abdullah Awang Adi, Bobby Chua, Yap Wai Loon sekadar menyebut beberapa nama juga mewarnai kecemerlangan sabah ketika itu. Mungkin ada nama yang saya tidak sebutkan, tetapi anda skuad emas 1996 tetap di hati kami.
1996 merupakan tahun di mana Sabah memahatkan nama selaku raja liga Malaysia. 1996 juga tahun yang menyaksikan Liga Malaysia berubah ke era professional. Dan sabah muncul sebagai juara pertama.
Tahun yang sama sabah mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Selangor. Gergasi Borneo bertandang ke Shah Alam menentang Gergasi Lembah Klang dalam satu perlawanan berat sebelah yang cukup mendebarkan.
Aksi Khairul Azman ketika itu umpama dewa. Serangan berkelas tinggi dari Selangor dan hampir 80 ribu penyokong Merah Kuning masih tidak mampu menembusi kekebalan dipamerkan Khairul Azman.
Perlawanan akhir tersebut seolah menyaksikan seluruh Selangor menentang Khairul Azman seorang. Saya tidak terkejut situasi itu berlaku kerana tidak ramai pemain Sabah pernah dalam situasi itu dan pengalaman Khairul banyak membantu. Sabah akhirnya tewas menerusi penetuan sepakan penalti. Kami [penyokong Sabah] terima kekalahan dengan hati terbuka.
Namun selepas itu, ia seakan berakhir. Sabah cuba untuk bangkit tetapi tidak terlalu berupaya. Peminat sudah mula meninggalkan stadium.
Hiburan minggu bukan lagi di stadium tetapi di depan tv sama ada menikmati rancangan tv realiti ataupun bola sepak antarabangsa. Sabah seakan hilang dari landskap bolasepak negara. Satu situasi yang amat mengecewakan kami sebagai peminat bolasepak era dunhill 90an. Tapi begitulah perubahan zaman.
2019 memperlihatkan Sabah kembali, walaupun mungkin masih belum tahap mengulangi pencapaian skuad generasi emas 1996. Sebagai juara Liga Premier dan mara ke liga paling elit negara iaitu Liga Super Malaysia 2020. Mungkin terdapat individu yang memerli mengapa stadium tidak boleh terlalu bising.
Pasukan sabah memerlukan lebih dari teriakan pengurus atau jurulatih di luar padang. Sabah perlukan teriakan 30 ribu penyokong demi kelangsungan bolasepak. Sorakan itu akan membarakan semangat pemain.
Pihak pengurusan sudah melakukannya. Sabah kini di liga elit negara. Dan kini, apakah kokokan itu di sahut oleh generasi baru peminat bolasepak sabah?
Kredit foto: obses bola
Nota editor: Artikel ini adalah sumbangan Awang Alifah Awang Amin yang merupakan penyokong setia Sabah, telah disunting sebelum diterbitkan di Semuanya BOLA dengan kebenaran. Hantarkan artikel anda (tidak kurang dari 350 patah perkataan) ke [email protected] di dalam bentuk Microsoft Words jika mahukan ia dibaca oleh lebih sejuta pembaca kami.