Sabah bakal mengharungi saingan AFC hari ini bagi peringkat Kumpulan H dengan perlawanan seterusnya membabitkan pasukan tersebut menentang wakil kelab dari Indonesia iaitu PSM Makassar.
Terdahulu, Sabah berjaya melayakkan diri ke pusingan seterusnya selepas mereka sah menjadi juara kumpulan dengan lebih awal menerusi 12 mata dipungut mereka daripada lima perlawanan dihadapi.
Sepanjang lima perlawanan lalu di peringkat kumpulan itu dilalui Sabah, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee hanya mencatat satu kekalahan sahaja dengan baki seterusnya dinoktahkan kepada kemenangan.
Daripada segi jumlah jaringan, Sabah jelas begitu unggul apabila mereka telah pun meledak 18 gol sepanjang lima perlawanan telah dihadapi selain hanya dibolosi enam kali sahaja.
Dalam erti kata lain, The Rhinos menjadi antara kelab paling konsisten ketika ini dengan kekuatan mereka di segenap posisi untuk menghadapi cabaran lawan di pentas Asia.
Untuk rekod pasukan tersebut masih lagi belum mencatat kekalahan sepanjang lima aksi dilalui mereka kini, dengan Sabah berpeluang besar untuk meneruskan momentum tersebut pada aksi seterusnya ini menentang PSM Makassar.
Lebih menarik, skuad kendalian Ong ini juga hanya dua kali sahaja dibolosi sewaktu berdepan Hai Phong serta Hougang United sahaja.
Berbanding pasukan lawan, rekod lima perlawanan lalu menyaksikan PSM Makassar hanya mencatat sekali kemenangan ketika berdepan cabaran Persikabo 1973, dengan empat aksi lagi disudahkan dalam bentuk seri.
Momentum semasa kini jelas menjadi milik Sabah dengan rekod pertemuan kedua pasukan tersebut sebelum ini menyaksikan juara Liga 1 Indonesia tersebut dibelasah The Rhinos menerusi keputusan 0-5.
Pada aksi tersebut, Darren Lok telah pun meledak dua gol dan Gabriel Peres, Stuart Wilkin, serta Farhan Roslan masing-masing turut mencatat nama selaku penjaring pada perlawanan itu.
Antara pemain Sabah yang dijangka bakal memberi pengaruh besar pada perlawanan tersebut sudah tentu terarah kepada penyerang import mereka iaitu Saddil Ramdani.
Saddil menjadi antara pemain berpengaruh ketika ini bersama The Rhinos selepas kelincahan serta kreativiti beliau mencipta umpanan berbisa kepada rakan sepasukan tidak dapat disangkal lagi.
Selain itu, pengaruh daripada Park Taesu di bahagian tengah juga dijangka akan menyukarkan pasukan lawan untuk cub menguasai permainan di posisi tersebut sepanjang aksi berlangsung.
Apapun, semoga Sabah mampu memperoleh kemenangan pada perlawanan ini dan terus membanggakan nama Malaysia di pentas antarabangsa.