Sabah bakal meneruskan aksi Liga Super 2023 mereka hari ini dengan perlawanan seterusnya membabitkan pasukan tersebut menentang Terengganu.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, pastinya Sabah enggan melepaskan sebarang peluang untuk cuba mendapatkan tiga mata seterusnya bagi terus mengejar Kedah Darul Aman (Kedah) di tempat ketiga.
Apatah lagi, pasukan tersebut juga masih segar dengan kemenangan besar 7-0 mereka untuk mengatasi Kelantan pada aksi lalu walaupun tampil tanpa beberapa orang tonggak utama.
Kemenangan besar itu dianggap mampu untuk melonjakkan lagi motivasi pasukan tersebut pada malam ini untuk berdepan cabaran pasukan tuan rumah
Lebih menarik, sekembalinya empat tonggak mereka yang sebelum itu bersama pasukan negara pastinya ditagih Datuk Ong Kim Swee untuk merencanakan taktikal lebih baik bagi berdepan Terengganu.
Impak positif Darren Lok, Stuart Wilkin, Daniel Ting, dan Saddil Ramdani yang beraksi di pentas antarabangsa sebelum itu dilihat sebagai suatu kelebihan berguna buat Sabah mengharungi perlawanan ini.
Apatah lagi Darren Lok dan Saddil Ramdani masing-masing masih segar dengan kejayaan mereka untuk meledak gol di pentas antarabangsa bersama pasukan negara sendiri sebelum itu.
Walaupun begitu, cabaran yang diletakkan oleh Terengganu juga tidak boleh diambil mudah kerana pasukan kendalian Tomislav Steinbruckner itu juga semakin baik daripada segi corak permainan.
Sehingga enam perlawanan dilalui Sang Penyu, pasukan tersebut masih lagi belum merekodkan sebarang kekalahan selain menampilkan keputusan positif di pentas AFC.
Aksi pada 8 November lalu ketika berdepan jaguh Filipina iaitu Stallion Laguna pastinya ingin digunakan mereka sebagai sumber motivasi setelah Terengganu bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan dramatik 3-2.
Ivan Mamut serta Sony Norde menjadi antara pemain yang sangat menyerlah sejak beberapa perlawanan ini dan pasti akan menjadi pertaruhan penting untuk aksi seterusnya bertemu Sabah.
Jangkaan aksi sengit bakal ditampilkan kedua pasukan tersebut malam ini dengan masing-masing sedang berada dalam momentum terbaik untuk memburu tiga mata penuh perlawanan.
Sabah yang hadir selaku pelawat sudah tentu tidak ingin melepaskan sebarang peluang untuk melepaskan sebarang mata di gelanggang lawan, manakala Terengganu juga pasti tidak rela untuk melepaskan peluang di gelanggang sendiri.