Quantcast

BERITA

S. Kumaahran Bersyukur Terpilih, Sedia Untuk Bermula Semula

Tahun lalu, S. Kumaahran menghabiskan masa hampir setahun untuk proses pemulihan daripada kecederaan ACL yang dialaminya semasa saingan Sukan SEA 2017 – ketika berdepan Indonesia.

Beraksi di Liga Premier tidak menghalang penyerang, S. Kumaahran untuk mendapat panggilan semula ke skuad kebangsaan oleh pengendali ketika ini, Tan Cheng Hoe.

Penampilan sulungnya bersama skuad kebangsaan adalah ketika terikat tanpa jaringan menentang Bangladesh dalam aksi persahabatan di Stadium Shah Alam pada Ogos 2015.

Foto: Muhammad Shah

Sepanjang aksi di awal musim ini, Kumaahran telah beraksi dalam 4 perlawanan bersama Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Liga Premier dan telah menyumbang 1 gol buat Harimau Selatan.

“Saya gembira telah pulih sepenuhnya daripada kecederaan. Sukar untuk saya apabila terlepas banyak perlawanan dan kini saya bersedia untuk bermula semula,” ujarnya kepada The Star.

Kecederaan selalu mengganggu perkembangan kariernya dan kecederaan tersebut merupakan kali kedua buat dirinya dan memaksanya melupakan sebentar bola sepak.

Kali pertama kecederaan dialaminya adalah pada usia 16 tahun ketika menghadiri sesi percubaan di kelab Brazil, Cruzeiro pada tahun 2012 – menyebabkan dia gagal dalam pemilihan tersebut.

Kumaahran bersama-sama rakan sepasukan meraikan kemenangan ke atas Singapura.

“Setiap kali saya sedang berada di puncak prestasi, pasti sesuatu akan berlaku kepada saya dan kecederaan yang sering dialami sejak dari muda mengajar saya segalanya.

“Saya belajar untuk bersabar. Memaksa sesuatu keadaan itu akan memburukkan lagi keadaan. Saya bersyukur kerana dipilih oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe,” tambahnya lagi.

Kumaahran terpilih mendapat penampilan bersama skuad kebangsaan pada usia 19 tahun dan ianya telah menimbulkan persoalan di kalangan pemerhati bola sepak tempatan.

Namun, pengendali ketika itu, Dollah Salleh menjelaskan yang pemain muda tersebut memiliki bakat besar dan tidak salah untuk mengatakan yang dia adalah masa depan bola sepak Malaysia.

Bercakap kepada Harian Metro, Dollah Salleh ketika itu menyatakan, “Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan dia antara pemain masa depan Harimau Malaya.”

Untuk kem skuad kebangsaan kali ini, Kumaahran akan bersaing dengan penyerang Pahang, Norshahrul Idlan Talaha, Zaquan Adha Abd Razak dan rakan sepasukan di JDT, Hazwan Bakri.

Malaysia akan beraksi dalam kejohanan Piala AIRMARINE 2019 yang julung kalinya dianjurkan dan akan disertai oleh 3 lagi pasukan iaitu musuh seberang tambak, Singapura dan kemudian samaada Oman atau Afghanistan untuk aksi kedua.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!