Skuad Rusia bermula dengan cemerlang di pentas Piala Dunia ketika di peringkat kumpulan tetapi pertemuan terakhir menentang Uruguay memberi gambaran sebenar kekuatan pasukan mereka berdepan lawan yang lebih kuat.
Mereka akan berdepan perlawanan penting dalam tempoh tiga dekad apabila mereka bertemu juara edisi 2010 di Moscow malam ini dalam aksi 16 terakhir.
Ia adalah penampilan pertama Russia di peringkat kalah mati sejak era Soviet. Mereka akan turun sebagai pasukan bukan pilihan berhadapan Sepanyol yang mempunyai rekod yang tidak perlu dipertikaikan apabila tidak pernah tewas dalam tempoh dua tahun.
Manakala Russia pula hadir ke kejohanan ini tanpa memenangi sebarang perlawanan dalam lapan bulan.
Perlawanan kompetitif antara dua pasukan itu menyaksikan Sepanyol mudah membenam Russia 3-0 di separuh akhir kejohanan Euro 2008.
“Kami mahu melakukan sedikit keajaiban,” kata penyerang Russia Artem Dzyuba.
“Kami mahu pamerkan aksi terbaik kepada penyokong kami.”
Russia memulakan kempen dengan kemenangan 5-0 ke atas Arab Saudi di Stadium Luzhniki, kemudian disusuli dengan kemenangan 3-1 ke atas Mesir yang diterajui Mohamed Salah, walaupun hakikatnya Salah tidak berada pada prestasi terbaiknya.
Kekalahan 3-0 di tangan Uruguay pada perlawanan terakhir kumpulan meletakkan Russia di kedudukan sepatutnya dan esok, peluang untuk mencatat sejarah kembali terhidang apabila bertemu Sepanyol.
Kali terakhir Kesatuan Soviet mara ke kelompok 16 terakhir ialah pada tahun 1986 di Mexico sebelum tewas 4-3 kepada Belgium dalam masa tambahan.