Bintang Brazil, Willian Borges da Silva berjanji bahawa beliau dan rakan sepasukan akan melakukan yang terbaik dan yakin kesilapan 2014 tidak akan berulang lagi dalam kejohanan Piala Dunia yang bakal berlangsung di Rusia nanti.
Willian antara pemain yang menggalas tugas bersama The Selecao di Piala Dunia 2014 turut mengimbas tentang episod duka yang dihadapi negaranya di tanah air sendiri empat tahun yang lalu.
Brazil sebagai tuan rumah terpaksa menelan kekalahan memalukan dihadapan penyokong sendiri selepas diaibkan oleh Jerman 7-1 di Stadium Maracana.
Tahun ini, skuad bimbingan Tite akan kembali dengan misi dan semangat yang baru bagi mengejar kejuaraan keenam negara itu dalam edisi Piala Dunia.
“Harapan saya adalah mahukan yang terbaik. Saya fikir kami (Brazil) sudah melakukan yang terbaik di pusingan kelayakan dan pasti akan mengulanginya semula di Rusia nanti kerana kami sekarang berada di landasan yang terbaik” ujar Willian dalam temubual dipetik dari Goal.
Namun, Willian menegaskan, bukan mudah bagi pasukannya untuk merangkul kejuaraan kerana banyak pasukan hebat yang mampu memberi tentangan sengit di Rusia nanti
“Sukar untuk menentukan pasukan mana akan bergelar juara kali ini. Terdapat empat atau lima pasukan termasuk Brazil yang sama hebat dan mampu melakukannya.”
“Piala Dunia adalah kejohanan yang besar dan sebarang kesilapan tidak boleh dilakukan, terutama dalam perlawanan akhir.”
Kejohanan kali ini menjadi medan bagi Brazil untuk menebus kekecewaan 2014.
Brazil dijadualkan akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Crotia, Ahad ini dan Austria pada 10 Jun ini bagi persiapan menjelang Piala Dunia yang akan membuka tirai tidak lama lagi.