Laman media sosial popular, Twitter telah memberikan peminat bola sepak di Malaysia, Filipina dan Indonesia alasan kukuh untuk mereka kekal setia bersama medium tersebut pada bulan Jun nanti.
Twitter dilaporkan akan menyajikan sorotan perlawanan ‘hampir dengan masa sebenar’ dan klip video Piala Dunia 2018.
Pengarah Urusan Twitter (Asia Tenggara), Arvinder Gujral memberitahu Channel NewsAsia bahawa video khususnya dalam sukan merupakan kunci utama fokus mereka untuk merangka strategi pertumbuhan dan kewangan syarikat.
”Terdapat lebih 20 kerjasama termeterai di Asia Tenggara untuk menyiarkan kandungan video di Twitter termasuk Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung di Rusia pada bulan Jun ini,” kata Gujral.
”Sorotan rangkuman dan klip video pertandingan akan dipaparkan di beberapa pasaran terpilih di Asia Tenggara seperti Malaysia, Filipina dan Indonesia.”
Arvinder Gujral menambah beberapa negara lain akan dimasukkan ke dalam senarai mereka pada masa akan datang.
”Sekiranya anda terus setia bersama kami, akan ada lebih pasaran yang akan ditambah dalam senarai ini.’
Bagi peminat bola sepak di tanah air, Astro Malaysia akan memaparkan ‘daily live show’ serta klip video dan segala kandungan yang dikeluarkan oleh FIFA.
Di Indonesia pula, Twitter menjalankan kerjasama dengan PT Futbal Momentum Asia untuk memberikan sorotan semua perlawanan, sesi temubual bersama pemain dan jurulatih serta video sidang media rasmi.
Manakala penyiar rasmi di Filipina adalah ABS-CBN untuk memaparkan klip video setiap perlawanan di Twitter.
Foto: The Tico Times