Sekiranya anda membeli televisyen dan syarikat pengedar itu menawarkan pulangan bayaran, adakah anda akan mahu?
Sudah pasti 99.9% menginginkannya bukan?
Istimewa
Ia bermula apabila sebuah syarikat pengedar televisyen, Krefel memberi tawaran istimewa sebegini. Syaratnya ialah, Belgium mesti melepasi minimum 16 gol dijaringkan semasa Piala Dunia di Rusia.
Namun begitu, pengguna Krefel mesti mendaftar pada atau sebelum 17 Jun lalu. Sekiranya skuad Belgium berjaya mencecah sasaran 16 gol tersebut, wang pembelian akan dipulangkan kepada pengguna.
Ini termasuk juga dengan cukai yang dikenakan semasa membeli televisyen tersebut. Dikhabarkan ia tidak tertakluk bagi mana-mana jenama, asalkan membeli di premis Krefel.
Nampaknya Krefel akan menanggung perbelanjaan kewangan yang tinggi dengan idea segila ini. Adakah mereka sudah membuat kajian lebih lanjut untuk pemasaran sebegini? Tidak pastilah.
Hampir mencecah
Belgium sudah pun mempunyai 12 gol yang dijaringkan dalam kempen kali ini. Kurang lagi 4 gol yang disasarkan oleh pihak Krefel.
Belgium telah menewaskan Jepun pada perlawanan pusingan kedua pagi tadi. Nacer Chadli menjaringkan gol kemenangan sekaligus menempah slot ke suku akhir.
Dalam satu temubual bersama BBC bersama salah seorang pemain Belgium, Dries Mertens, beliau mengakui mahu menjaringkan banyak gol dalam Piala Dunia.
Beliau menjaringkan gol pembukaan pada perlawanan sulung bertemu Panama.
Skuad Belgium sendiri sudah pun mengetahui tawaran gila Krefel itu sebenarnya.
Dalam nada berjenaka, Mertens memberitahu ada rakannya sudah membeli televisyen daripada Krefel. Cuma tidak diketahui siapakah rakannya itu sama ada rakan sepasukannya atau sebaliknya.
Sekurang-kurangnya, ia memberikan motivasi kepada skuad Belgium mara lebih jauh dalam kejohanan berprestij ini. Ia juga tidak memberikan kesan ketara kepada mutu persembahan skuad bimbingan Roberto Martinez di padang.
Siapa tidak mahu barang berharga dan wang dikembalikan?
Nota penulis: Teringat pula kisah yang tular baru-baru ini mengenai seorang tetamu terpaksa menggadaikan telefon dan barang kemas isteri dek anaknya memecahkan televisyen milik tuan rumah.