Saat artikel ini ditulis, skuad Piala Dunia Sepanyol mungkin dalam perjalanan meninggalkan Rusia selepas dihantar pulang oleh tuan rumah, Rusia melalui penentuan sepakan penalti.
Namun ia tidak menghalang Royal Spanish Football Federation (RFEF) daripada memulakan inkues kepada kegagalan mereka untum memberikan impak di Rusia.
Apapun hasil inkues atau siasatan yang dilakukan oleh Sepanyol, satu perkara yang jelas ialah mereka tidak menyesal memecat jurulatih, Julen Lopetegui beberapa hari sebelum sepak mula kejohanan.
Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh Presiden RFRF, Luis Rubiales.
“Saya tidak pernah menyesal akan keputusan memecat Lopetegui. Di saat sukar begini, ia penting untuk kita kekal tenang. Di dalam apa bidang sukan sekalipun, pasukan terbaik tidak semestinya akan menang,” jelas Rubiales.
Skuad Sepanyol menguasai majoriti penguasaan bola dalam perlawanan menentang Rusia di Stadium Luzhniki malam tadi.
Walaupun menguasai penguasaan, hakikatnya Sepanyol gagal menunjukkan keupayaan mereka di barisan hadapan, dan terpaksa membayar akibatnya dengan disingkirkan dari Piala Dunia.
Rubiales juga berpendapat tewas melalui penentuan sepakan penalti bukan indikasi sebenar keupayaan La Roja.
“Kami menguasai perlawanan, dan jelas adalah pasukan yang lebih baik. Namun akhirnya, kami harus menerima hakikat disingkirkan dengan kepedihan.”
“Kami selalu mempunyai perasaan akan disingkirkan oleh sebuah pasukan yang berbeza keupayaan berbanding kami. Mereka berjaya hanya kerana sepakan penalti,” ujar Rubiales lagi.
Ramai pemerhati bola sepak di seluruh dunia menuding jari kegagalan Sepanyol adalah disebabkan pemecatan Lopetegui.
Namun Rubiales berkata ia adalah keputusan yang tepat, namun kompleks dan sukar untuk dijelaskan.
“Apa yang penting sekarang ialah untuk pasukan ini dan RFEF untuk terus melihat ke hadapan,” kata Rubiales lagi.