Brazil adalah juara lima kali kejohanan Piala Dunia, dan merupakan antara salah sebuah pasukan pilihan untuk menjuarai edisi kejohanan tersebut di Rusia.
Namun menurut legenda bola sepak Pele, Brazil masih belum memiliki ramuan yang diperlukan untuk meraih kejuaraan ke-6 di dalam sejarah bola sepak negara itu pada edisi kejohanan kali ini.
Sejak Tite mengambil alih tugas jurulatih skuad Brazil, pasukan tersebut hanya tewas tiga kali dari keseluruhan 20 perlawanan sejak dua tahun yang lalu.
Namun demikian, kecederaan telah memaksa jurulatih berusia 57 tahun itu menggunakan gandingan pemain yang berbeza dalam beberapa perlawanan persahabatan kebelakangan ini.
Pele yang merupakan pemenang Piala Dunia sebanyak tiga kali, dan menjadi satu-satunya individu yang berbuat demikian di dunia berkata kepada Reuters pada Rabu lalu:
“Saya mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap keupayaan Tite. Tetapi kerisauan saya hanya berkisar kepada satu perkara.”
“Kejohanan Piala Dunia akan bermula dalam beberapa hari sahaja lagi. Dan sehingga kini, Brazil belum memiliki gandingan yang sempurna untuk membentuk sebuah pasukan yang utuh.”
“Secara individu, pasukan ini memiliki pemain individu berkualiti tinggi. Namun tidak sebagai sebuah pasukan.”
Antara yang memberi kerisauan kepada penyokong bola sepak Brazil ialah tahap kecergasan penyerang utama selepas mengalami kecederaan pada Februari lalu.
Pemain pertahanan, Dani Alves (gambar atas) terpaksa disisihkan dari senarai akhir 23 pemain selepas mengalami kecederaan lutut.
Manakala Renato Agusto dan Douglas Costa turut dilaporkan mengalami kekejangan sehingga terlepas aksi perlawanan persahabatan dalam kemenangan ke atas Croatia Ahad lalu.
Namun demikian, Neymar diturunkan pada babak kedua perlawanan untuk mengepalai kemenangan Brazil setelah membuka tirai jaringan pada minit ke-69 perlawanan.
Gol di masa kecederaan oleh penyerang Liverpool, Roberto Firmino melengkapkan kemenangan 2-0 Brazil dalam perlawanan tersebut.
Mengenai Neymar, Pele berpendapat pemain itu boleh menjadi inspirasi kepada skuad Brazil untuk mensasarkan kejuaraan Piala Dunia kali ini.
“Pada saya Neymar adalah salah seorang pemain terbaik dunia pada hari ini.”
“Hari ini Neymar semakin matang da memiliki lebih banyak pengalaman berbanding sebelum ini.”
“Namun demikian, Neymar tidak akan menjuarai Piala Dunia seorang diri. Ianya memerlukan sebuah pasukan untuk menjuarai kejohanan ini.”
“Pasukan terhebat yang pernah dimiliki oleh Brazil ialah pada 1970. Pasukan pada ketika itu dibarisi oleh Tostao, Rivellino, Gerson dan Pele, dan setiap dari kami menyarung jersi No.10 untuk pasukan masing-masing.”
“Dalam rangka persiapan untuk kejohanan edisi 1970, kami menjalani latihan secara bersama selama 6 bulan. Dan ia memberi pulangan seperti yang kami harapkan.”
Sepanjang tahun ini, Brazil hanya menghadapi tiga perlawanan persahabatan setakat ini, dan bakal berhadapan dengan Austria pada Ahad hadapan dalam perlawanan pemanas badan sebelum ke Rusia.
Brazil akan berhadapan dengan Switzerland pada 17 Jun hadapan, sebelum bertemu Costa Rica dan Serbia di dalam Kumpulan E kejohanan Piala Dunia.