Quantcast

BERITA

Rusia 2018: Marcelo Bidas Orang Kritik Casemiro, Yakin Kecederaan Fred Tidak Serius

Bintang Brazil, Marcelo yakin Fred akan bersama-sama dengan pasukan yang beraksi dalam Piala Dunia. Semalam Fred telah mengalami kecederaan selepas dibentes oleh Casemiro di kem latihan Brazil.

Fred mengalami kecederaan di buku lali kesan daripada bentesan tersebut. Fred baru sahaja diumumkan sebagai pemain Manchester United pada Selasa lalu selepas dibeli dengan nilai £52 juta dar Shakhtar Donetsk.

Doktor pasukan Brazil, Rodrigo Lasmar memberikan gambaran tentang kecederaan Fred dengan berkata:

“Hari ini, Fred mengalami trauma di buku lali beliau dan terlalu awal untuk membuat kesimpulan tentang hal ini. Esok kami akan meneliti dan menentukan sama ada kecederaan ini perlu dibawa ke makmal untuk ujia ataupun tidak.”

Ramai pihak yang mengkritik Casemiro terutama sekali penyokong Manchester United yang mahu melihat bintang baru mereka itu bermain di Piala Dunia.

Marcelo mempertahankan tindakan Casemiro kerana menurut beliau sudah pastinya Casemiro tidak berniat mahu mencederakan Fred.

Ketika ditanya, kenapa perlu melakukan bentesan keras di pusat latihan, sedangkan ia berisiko memberikan kecederaan kepada rakan, Marcelo berkata:

“Kecederaan Fred tidaklah serius sangat. Ini adalah Piala Dunia, semua orang berlatih keras, bekerja keras menyebabkan detik seperti ini berlaku.”

“Namun saya percaya kecederaan itu tidak serius, itu bukan masalah bagi kami kerana kami tahu beliau akan kembali ke dalam pasukan ini secepat mungkin.”

Brazil akan memulakan kempen Piala Dunia pada 17 Jun ini menentang Switzerland. Sama-sama kita nantikan kemaskini perkembangan Fred. Jika beliau sembuh sekalipun, Fred dijangka akan terlepas aksi awal Piala Dunia.