Kapten England, Harry Kane bertekad untuk bersaing dengan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo dan juga pemain tengah Argentina, Lionel Messi untuk gelaran pemain terbaik dunia.
Penyerang Tottenham Hotspur itu menjaringkan dua gol, termasuk gol kemenangan minit akhir untuk membantu England menewaskan Tunisia 2-1 pada Isnin lalu.
Sehingga kini, Ronaldo dan Messi berkongsi 10 gelaran Ballon d’Or sesama mereka- anugerah yang diberikan untuk menobatkan pemain terbaik dunia pada hari ini.
“Jangan miliki had pencapaian. Tidak ada sesiapa yang patut berbuat demikian,” ujar Kane.
Penyerang Tottenham Hotspur itu telah mejaringkan 135 gol sepanjang empat musim, termasuk 41 gol dalam semua pertandingan untuk membantu kelab London tersebut mengakhiri kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ketiga pada musim lalu.
Kane telah menjaringkan 15 gol melalui 25 penampilan bersama England. Kane juga menjadi pemain Inggeris pertama menjaringkan dua gol dalam perlawanan Piala Dunia, sejak kali terakhir dilakukan oleh Gary Lineker di Itali pada 1990.
Manakala Ronaldo yang dinobatkan gelaran Ballon d’Or pada musim lalu telah menjaringkan 450 gol melalui 438 penampilan untuk Real Madrid, dan memenangi tiga kejuaraan UEFA Champions League secara berturut-turut sejak tiga musim sebelum ini.
Lionel Messi yang menyertai Barcelona sejak usia remaja pula telah merekodkan 552 gol untuk gergasi Catalan tersebut.
Bercakap kepada BBC di Rusia Kane berkata:
“Untuk menjadi pemain terbaik dunia, anda harus mempunyai sasaran tinggi. Anda tidak boleh meletakkan sasaran yang rendah.”
“Saya harus membuktikan ramai orang tersalah anggap sepanjang karier saya. Dan saya juga gemar membuktikan apa yang mampu saya lakukan.”
“Ronaldo dan Messi adalah dua pemain terbaik dunia. Namun cabaran untuk berada sama hebat seperti mereka terserah kepada diri saya sendiri.”
“Saya sentiasa bersemangat untuk beraksi di luar sana, dan menunjukkan keupayaan diri di pentas terbesar dunia.”
Kane juga memberitahu beliau ada menerima mesej ringkas sebagai dorongan daripada pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino sebelum perlawanan menentang Tunisia.
“Poch menghantar saya SMS sebelum dan selepas perlawanan. Beliau memberikan banyak kata dorongan.”
“Beliau sentiasa memberikan dorongan. Poch bukan sekadar boss saya di peringkat kelab. Beliau juga adalah seorang sahabat. Beliau adalah pengurus, dan pada masa yang sama adalah rakan yang baik.”
England akan berhadapan dengan Panama di Nizhny Novgrod pada Ahad akan datang sebelum Belgium menanti mereka di perlawanan terakhir Kumpulan G di Kaliningrad pada 28 Jun.