Penyerang Mexico, Javier Hernández Balcázar atau lebih dikenali sebagai Chicarito merupakan penjaring terbanyak sepanjang masa El Tri dengan mencatatkan rekod 49 gol dalam 101 perlawanan.
Hernández antara 23 pemain yang dipilih oleh Juan Carlos Osorio untuk memperkuatkan jentera pasukan Mexico bagi menghadapi kempen Piala Dunia 2018 di Rusia.
Beliau yang berjaya menjaringkan dua gol pada Piala Dunia 2010 dan satu gol pada Piala Dunia 2014, amat berharap dapat mengulanginya untuk Piala Dunia di Rusia nanti sekaligus dapat merealisasikan impiannya bagi mencipta sejarah bersama Mexico.
Namun, situasi kali ini berbeza dimana beliau harus bersaing hebat dengan penyerang Benfica, Raúl Jiménez bagi merebut posisi utama dibahagian serangan pasukan.
Seperti yang diketahui, prestasi Hernández bersama West Ham United musim ini dianggap gagal selepas beliau hanya berjaya menjaringkan 8 gol dalam 34 penampilannya, sehingga menyebabkan beliau terpaksa diketepikan sebagai penyerang utama pilihan David Moyes.
Hal tersebut menjadi perkara rumit bagi Hernández untuk mengembalikan keyakinan Carlos Osorio untuk meletakkan beliau dalam kesebelasan utama.
Bercakap kepada Goal, Hernández amat berharap, Osorio dapat menyenaraikannya dalam kesebelasan utama untuk perlawanan pembukaan kumpulan F menentang Jerman pada 17 Jun ini.
Hernández yang kini berusia 30 tahun itu mahu menikmati setiap saat bersama Mexico dalam kempen Piala Dunia ini dan dalam masa yang sama mahu membuktikan beliau lebih baik berbanding bapanya, Javier Hernández Gutiérrez.
“Mewakili Mexico merupakan mimpi yang sentiasa menjadi kenyataan, bukan hanya mewakili pasukan di Piala Dunia tetapi setiap kali saya dipanggil untuk bermain dalam perlawanan persahabatan, Piala Konfederasi atau mana-mana kejohanan rasmi,” kata Hernandez.
“Saya selalu memakai baju ini dengan bangganya dan saya menghargai penghormatan yang diberikan tersebut sebagai salah satu permain yang terbaik di Mexico.”
Mexico akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Denmark sebagai medan pemanas badan sebelum skuad itu berlepas ke Rusia bagi menghadapi cabaran Piala Dunia 2018 yang akan bermula 14 Jun ini.
Mexico diundi dalam Kumpulan F bersama penyandang Juara, Jerman, Sweden dan Korea Selatan.