Skuad La Roja akan membuka kempen Piala Dunia 2018 dengan perlawanan menentang Portugal bagi kumpulan B pada Sabtu 16 Jun ini.
Menjelang perlawanan tersebut, Andres Iniesta memperingatkan kepada para pemain supaya berwaspada menghadapi Portugal, khursusnya Cristiano Ronaldo.
“Portugal merupakan salah satu pasukan yang sukar untuk dikalahkan, dan kami (Sepanyol) harus tampil dengan persembahan yang terbaik di Piala Dunia nanti.”
“Sedikit kesilapan sahaja yang dilakukan di bahagian pertahanan, ianya boleh mengundang bahaya buat pasukan.”katanya.
Bercakap kepada Goal, Iniesta turut berpesan kepada pemain pertahanan agar cuba melakukan yang terbaik untuk menghentikan dan mengagalkan segala gerakan dari Cristiano Ronaldo dalam perlawanan nanti.
“Cristiano adalah seorang pemain yang serba boleh dan menjadi harapan untuk mana pasukan yang diwakilinya termasuk Portugal.”
Walaupun Sepanyol memiliki ramai pemain yang sudah biasa menjalani latihan di Real Madrid bersama Ronaldo seperti Sergio Ramos, Nacho Fernández, Marco Asensio, Isco, Dani Carvaral dan Lucas Vazquez, Iniesta tetap mahu rakan sepasukannya agar berwaspada dengan setiap pergerakan pemain berusia 33 tahun tersebut.
Iniesta telah berhadapan dengan Ronaldo berkali-kali dalam pertembungan El Clasico, sudah tentu beliau amat mengetahui kehebatan Ronaldo dalam setiap perlawanan.
Di atas kertas, Sepanyol diramal tidak mengalami sebarang masalah untuk melangkah ke pusingan seterusnya selepas diundi berada dalam kumpulan B bersama Portugal, Magribi dan Iran.
Namun, dalam permainan bola sepak apa sahaja boleh berlaku.