Penyerang sensasi Tottenham Hotspur, Harry Kane sah akan menjadi kapten England dalam kempen Piala Dunia Rusia 2018. Gareth Southgate sudah melakukan satu pertemuan dengan skuad beliau di St. George Park semalam (Isnin).
Dalam beberapa perlawanans sebelum ini, Jordan Henderson dan juga Eric Dier merupakan kapten pasukan England. Ramai juga yang menjangkakan pertahanan Chelsea, Gary Cahill akan menjadi kapten sekali ini atas faktor senioriti.
Sejak Wayne Rooney tidak terlibat dalam tugasan skuad kebangsaan, jawatan kapten untuk pasukan seringkali bertukar ganti.
Harry Kane merupakan timbalan kapten di Spurs dan beberapa kali mengetuai pasukan England sebelum ini. Southgate menyatakan Harry ada kualiti individu yang sangat baik.
Kane gembira dengan amanah yang diberikan kepada beliau. Kane berkata:
“Saya teruja untuk bermain di Piala Dunia dan saya tak sabar-sabar untuk merasai pengalaman itu. Untuk mengetuai pemain-pemain dalam pasukan ini adalah sesuatu yang istimewa.”
Frank Lampard bersetuju dengan pemilihan Harry Kane kerana menurut Lampard, seorang kapten itu harus meletakkan tanda aras pada standard mereka setiap hari dan Harry Kane ada kualiti tersebut.
England diundi sekumpulan dengan Belgium, Panama dan Tunisia. Mereka akan berhadapan Nigeria dan Costa Rica di England sebelum bertolak ke Rusia.