Cristiano Ronaldo dan Portugal telah berjaya mengesahkan tempat untuk ke Rusia selepas kemenangan 2-0 ke atas Switzerland pada awal pagi tadi.
Gol sendiri Johan Djourou dan jaringan minit ke-57 penyerang AC Milan, Andre Silva mengesahkan Portugal sebagai juara Kumpulan B peringkat kelayakkan Piala Dunia Zon Eropah.
Persoalannya sekarang. Mampukah Portugal menyinar di Rusia pada tahun hadapan? Atau soalan retoriknya ialah: Adakah Rusia 2018 akan menjadi pentas Cristiano Ronaldo dan Portugal untuk bergelar juara dunia?
Daripada Eusebio kepada Cristiano Ronaldo sehinggalah kepada pemain generasi baru seperti Andre Silva, artikel ini menampilkan 4 sebab utama mengapa kami percaya Portugal mempunyai ramuan mereka tersendiri untuk bergelar juara dunia di Rusia 2018.
Penghargaan buat Eusebio
Eusébio da Silva Ferreira adalah ikon bola sepak Portugal. Beliau merupakan antara 100 pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman yang disenaraikan oleh FIFA dan turut berada di dalam FIFA International Football Hall of Champions.
Eusébio adalah simbol bola sepak Portugal. Pemergiannya pada 5 Januari 2014 bukan sahaja diratapi oleh rakyat Portugal, malah oleh seluruh komuniti bola sepak di seluruh dunia yang pernah menyaksikan kehebatan beliau satu ketika dahulu.
Piala Dunia 1966 merupakan prestasi terbaik Portugal dalam kejohanan tersebut. Eusebio dan Portugal mara hingga ke separuh akhir sebelum dikecewakan oleh England yang kemudiannya muncul juara kejohanan edisi 1966 di halaman sendiri itu.
Pemain yang turut mendapat jolokan ‘O Rei’ ini muncul sebagai penjaring terbanyak dengan 9 gol. ‘O Rei’ sangat sentimental dan merupakan tunjang utama kemaraan Portugal yang terpaksa berpuas hati menduduki tempat ke-3 di Piala Dunia 1966 selepas menewaskan Soviet Union dengan jaringan 2-1.
Untuk dinobatkan legenda sepanjang zaman sebaris Eusebio, Cristiano Ronaldo dan Portugal perlu memenangi Piala Dunia 2018. Ia bukan sekadar untuk koleksi kejayaan peribadi.
Lebih daripada itu, Piala Dunia 2018 akan dijadikan penghargaan buat Eusebio dan menjadikan Portugal sebagai salah sebuah negara kuasa bola sepak dunia yang dihormati di pentas antarabangsa.
Peluang terakhir buat Cristiano Ronaldo
Kebetulan atau tidak, Selecção das Quinas (Portugal) tidak pernah menjulang sebarang trofi di peringkat antarabangsa di era pemain yang digelar ‘Black Panther’, Eusebio.
Generasi emas pimpinan Luis Figo yang turut terdiri daripada pemain seperti Rui Costa, Deco dan Fernando Couto turut mengalami nasib yang sama.
Rusia 2018 adalah Piala Dunia edisi ke-4 Cristiano Ronaldo menguji nasib untuk mengejar satu-satunya piala yang dipertandingkan di dalam bola sepak yang belum pernah dimenangi oleh beliau.
Ronaldo mempercayai dirinya adalah pemain terbaik dunia ketika ini. Prestasi untuk 2 musim sebelum ini membuktikan dakwaan tersebut.
Sejak 2 tahun yang lalu, Cristiano Ronaldo telah memenangi anugerah Ballon d’Or dan juga Champions League sebanyak 2 kali, dan menjadi penjaring terbanyak di kejohanan tersebut untuk 5 musim berturut-turut.
Muncul sebagai juara Euro 2016 adalah kenangan paling manis buat Ronaldo dan Portugal. Tetapi Piala Dunia adalah pentas untuk membuktikan dirinya benar-benar pemain terbaik dunia dewasa ini, sekaligus akan menjadi pencapaian yang akan dibandingkan dengan rakannya di Barcelona, Lionel Messi.
Pada usia 32 tahun, Piala Dunia 2018 di Rusia adalah peluang terakhir untuk Cristiano Ronaldo bergelar juara dunia.
‘Generasi Emas’ baharu Portugal
Tidak ada apa yang boleh dibanggakan oleh Portugal selepas era Eusebio. Mereka gagal untuk melayakkan diri ke Piala Dunia selepas itu dan turut gagal melayakkan diri ke dalam beberapa siri kejohanan utama eropah.
Satu-satunya penampilan Portugal di Piala Dunia selepas 1966 ialah pada 1986 di Mexico, namun terkandas di peringkat kumpulan.
Euro 1996 di England- 30 tahun selepas Eusebio memukau arena yang sama, Portugal kembali lagi. Kali ini Portugal tampil dengan deretan pemain muda yang muncul sebagai juara Piala Dunia B-20 pada 1989 dan 1991.
Di peringkat kumpulan, Portugal seri dengan Denmark 1-1, sebelum bangkit menewaskan Turki 1-0 dan Croatia 3-0. Bagaimanapun mereka terkandas di peringkat suku akhir, tewas 0-1 untuk disingkirkan oleh Republik Czech.
Prestasi di Euro 1996 menerbitkan sinar harapan kepada bola sepak Portugal. Namun generasi Figo dan rakan-rakannya mengalami pasang surut dan gagal memberikan impak yang dikehendaki di pentas antarabangsa.
Kemunculan Cristiano Ronaldo dan kejayaan di Euro 2016 sekali lagi menerbitkan rasa optimis buat penyokong bola sepak Portugal. Piala Dunia 2018 mungkin adalah yang terakhir buat Cristiano Ronaldo, tetapi ia adalahpermulaan buat satu lagi generasi emas Selecção das Quinas.
Di posisi pertahanan, mereka mempunyai Raphael Guerreiro dan Nelson Semendo yang merupakan nadi penting buat kelab masing-masing pada musim ini bersama Borussia Dortmund dan Barcelona.
Di bahagian serangan, Portugal turut mempunyai Andre Silva yang menyertai AC Milan pada musim panas yang lalu. Bekas pemain sayap Monaco yang kini bersama Manchester City, Bernardo Silva turut menampilkan prestasi yang mengkagumkan di bawah kendalian Pep Guardiola.
Satu lagi nama yang tidak harus kita padam ialah pemain tengah Bayern Munich yang dipinjamkan ke Swansea iaitu Renato Sanches. 5 pemain ini mampu membentuk nukleus untuk masa hadapan bola sepak Portugal.
Tidak ada pentas lain yang lebih sesuai untuk membuktikan kemampuan mereka berbanding Piala Dunia 2018.
Berbaki 244 hari menjelang sepak mula Piala Dunia di Rusia, kelima-lima pemain ini mempunyai masa yang secukupnya untuk membuktikan kemampuan bersama kelab masing-masing sebelum ke Rusia pada tahun hadapan.
Pemain berpengalaman
Semua orang tahu kepentingan Cristiano Ronaldo kepada Portugal. Namun bola sepak bukan permainan individu. Untuk berjaya, anda harus mempunyai 10 pemain lain untuk membentuk kesebelasan utama yang mantap.
Selain daripada pemain muda yang membentuk generasi emas yang baharu, Portugal turut memiliki kelompok pemain berpengalaman yang telah beraksi bersama sejak beberapa tahun dan kejohanan antarabangsa yang lain.
Di bahagian pertahanan, Portugal mempunyai 2 pemain pertahanan tengah kental iaitu Bruno Alves dan Pepe. Fernando Santos turut memiliki Jose Fonte di posisi tersebut, manakala Cedric Soares adalah pilihan lain untuk Semedo di posisi bek kanan.
Kemudian di bahagian tengah pasukan, Santos turut mempunyai pemain berpengalaman seperti Joao Moutinho dan William Carvalho serta pemain sayap Inter Milan Joao Mario. Bekas pemain Manchester United, Nani juga merupakan pilihan lain yang boleh dipertimbangkan oleh Santos di posisi sayap kiri atau pun kanan.
Andre Silva dan Cristiano Ronaldo dijangka akan terus mengemudi bahagian serangan sambil penyerang veteran, Ricardo Quaresma dijangka akan berperanan sebagai pemain sokongan.
Manakala Rui Patricio dijangka akan terus diberikan tanggungjawab menjadi benteng terakhir Portugal di hadapan gawang.
Secara keseluruhan, adunan pemain berpengalaman dan pemain muda yang akan membentuk skuad Portugal ke Piala Dunia 2018 tampak seimbang.
Rumusan
Portugal kelihatan serba serbi lengkap. Mereka mempunyai ramuan untuk mencipta kejayaan di Piala Dunia 2018. Portugal turut mempunyai sebab mereka tersendiri untuk mencipta kejayaan sulung di kejohanan sukan bola sepak terbesar dunia ini.
Lebih daripada itu, Portugal pasti mahukan kejayaan di Rusia menjadi sebahagian dalam sejarah bola sepak negara berkenaan.
Apa pandangan anda? Mampukah Cristiano Ronaldo dan Portugal muncul sebagai juara dunia di Rusia 2018?