Rusia 2018: Arab Saudi Kongsi Cara Dan Cabaran Kendalikan Pemain Pada Bulan Puasa

Bulan puasa pastinya bulan yang paling mencabar untuk pemain bola sepak terutama sekali apabila ada kejohanan besar seperti Piala Dunia.

Setiap pemain bola sepak memiliki kadar metabolisme dan kondisi fizikal yang berbeza-beza. Mereka perlu sentiasa berlatih untuk memastikan diri mereka sentiasa cergas dan bersedia walaupun bukan hari perlawanan.

Segala rutin latihan berubah daripada latihan fizikal, taktikal, kondisi dan pemulihan.

Tidak kurang juga tidur yang cukup. Salah satu perkara yang penting dalam diri mereka adalah jadual pemakanan dan juga pengambilan air yang cukup.

Ramai pemain yang bergama Islam termasuk Mohamed Salah, Paul Pogba dan pemain-pemain lain cuba melakukan ibadat puasa secara penuh ataupun cuba sebaik mungkin. Cabaran terbesar mereka, kadangkala, puasa akan memberikan impak kepada tubuh badan mereka.

Beberapa jurulatih Eropah seperti Didier Deschamps tidak mahu campur dalam urusan itu dan menyerahkannya kepada staff kejurulatihan beliau untuk berbincang dengan pemain.

Ini kerana topik ini dianggap Deschamps agak sensitif dan beliau tidak begitu tahu mendalam tentang amalan itu. Adalah lebih baik beliau tidak masuk campur.

Mourinho pernah mengeluarkan Muntari selepas 30 minit ketika di Inter Milan kerana pemain itu nampak kepenatan dan Mourinho bertanya kepada Muntari, adakah beliau boleh berpuasa sambil bermain bola sepak? terutama sekali dalam cuaca panas. Mourinho takut pemain itu berhapadan dengan masalah dehydration.

Cabaran persiapan Piala Dunia Rusia

Tahun ini dalam Piala Dunia Rusia, ada 7 pasukan yang majoritinya diwakili pemain bergama Islam iaitu Arab Saudi, Mesir, Iran, Maghribi, Tunisia, Senegal dan Nigeria. Jadi pasukan – pasukan tersebut melakukan persiapan secara intensif sepanjang ramadan .

Tumpuan pastinya sudah pasti kepada Arab Saudi, tempat kota suci umat Islam. Baru-baru ini, Presiden FA Arab Saudi, Adel Ezzat menyatakan sejujurnya agak mustahil pemain mereka berpuasa penuh.

Selepas berbincang dengan ulama di Arab Saudi, mereka menyatakan, pemain boleh menggantikan puasa mereka selepas bulan ramadan dalam erti kata lain, menangguhkan dahulu puasa mereka. Ini kerana khuatir badan mereka akan mendapat mudarat kerana berpuasa.

Intensiti dalam permainan bola sepak sangat tinggi dan memerlukan pemain menggunakan tenaga yang banyak dan kehilangan cecair dalam badan yang banyak serta perlu digantikan. Puasa di Rusia adalah sekitar purata 18 jam-19 jam mengikut kawasan.

Namun begitu, beliau mengakui ramai pemain Arab Saudi yang mahu berpuasa pada bulan ramadan ini.

Jadi, dengan nasihat daripada pakar perubatan dan jurulatih kecergasan, mereka menyiapkan satu jadual di mana para pemain akan berpuasa secara berselang seli mengikut kemampuan dan kondisi pemain.

Mereka akan berada di Riyadh pada Rabu ini selepas 3 minggu menjalani latihan berintensiti tinggi di Sepanyol. Jadi, mereka perlu pastikan kecergasan dan momentum latihan itu berterusan setiap hari.

Selepas ini, mereka akan ke Zurich pada Sabtu dalam rangka persiapan terakhir sebelum ke Rusia.

Pandangan pakar

Nick Worth (gambar baju putih), pakar fisioterapi yang pernah bekerja untuk Manchester City dan Wigan sebelum ini merupakan individu yang banyak kali mengendalikan pemain beragama Islam yang berpuasa.

Beliau berpandangan, menguruskan pemain yang berpuasa berselang seli adalah lebih sukar berbanding yang puasa konsisten.

Maksud beliau, puasa konsisten mungkin tak penuh tetapi mereka berpuasa dalam 3 hari sehingga seminggu dan kemudian barulah tak puasa.

Puasa berselang seli terlalu dekat misalnya hari ini puasa, esoknya tidak ataupun 2 hari puasa kemudian 2 hari tak puasa, ia lebih sukar. Jadi satu jadual puasa yang sangat teliti harus dibuat untuk puasa berselang seli ini.

Beliau pernah mengendalikan pemain yang berpuasa secara berselang-seli ini. Menurut beliau:

“Melakukan kaedah puasa berselang seli ini membuatkan badan anda akan jadi ‘keliru’. Lebih baik anda berpuasa secara konsisten daripada berselang seli. Ini kerana badan anda akan menerima keadaan itu dan terbiasa.”

“Namun ia memerlukan proses adaptasi yang cepat dan setiap orang ada adaptasi yang berbeza beza.”

“Pandangan saya, adalah, sudah pastinya lebih baik mereka menangguhkan dulu puasa itu ketika kejohanan. Namun pada masa yang sama, saya berpendapat, puasa selang seli ini lebih mudarat daripada puasa yang konsisten.”

Arab Saudi sudah biasa

Pengurus pasukan Arab Saudi, Omar Bakhaswain menyatakan mereka sangat tenang dengan situasi ini kerana sudah biasa.

“Apabila anda berjalan jauh, anda boleh melengahkan puasa, anda boleh untuk tidak berpuasa. Namun semua perkara ini kami sudah bincang dan akan uruskan dengan pemain dengan baik, itu saya yakin.”

“Ini bukan kali pertama kami bermain pada bulan ramadan, tiada masalah.”

“Tahun sebelum ini kami bermain perlawanan kelayakan menentang Jepun dan Australian pada bulan puasa. Kami tahu cara mengendalikannya.”

“Dan harus diingat, liga bola sepak di Arab Saudi berjalan seperti biasa pada bulan suci ramadan. Kami boleh kendalikan perkara ini, ianya tak sukar, percayalah.”

“Anda akan melihat pasukan ini bermain pada peringkat tertinggi. Kami sudah melakukan persiapan terbaik.”

“Waktu siang di Riyadh dan Zurich hampir sama sekitar 13 jam 15 minit. Kami akan terbang ke Rusia 6 hari sebelum Piala Dunia bermula.”

“Namun begitu, hari pertama di St. Petersburg, fajar akan terbit pada 3.40 pagi dan terbenam pada 10.15 petang. Ini bermakna, jam puasa sebanyak 18 jam tanpa sebarang air.”

Jurulatih Arab Saudi, Juan Antonio Pizzi dari Argentina tidak mengenakan larangan kepada mana-mana pemain yang mahu berpuasa. Beliau memberikan kebebasan dan berharap pakar dalam pasukan beliau akan membantu para pemain.

“Kami akan menghormati sepenuhnya kehendak pemain. Kami semua perlu bersikap menghormati satu sama lain.”

“Tugas staf teknikal adalah memberitahu pemain cabaran dalam Piaa Dunia dan memberikan mereka segala informasi yang diperlukan untuk pemain menentukan sama ada mereka mahu berpuasa pada hari hari tersebut.”

Di bahagian dapur pula, chef pasukan mereka, Mohammed Abdul Fatah dari Mesir berkata beliau sudah banyak pengalaman dalam mengendalikan makanan pemain ketika bulan puasa.

Beliau sudah berkhidmat dengan FA Arab Saudi selama lebih 10 tahun. Beliau akan menyediakan pemain dengan masakan tradisi Arab Saudi iaitu masakan ayam digelar saleeg. Ia akan dimakan dengan nasi dan dihidangkan bersama susu segar.

Beliau akan menyediakan pemakanan yang seimbang, tinggi nutirisi dengan ubi kentang, ikan, pasta dan kambing. Pemain-pemain Arab Saudi sukakan kentang goreng tetapi dilarang sama sekali oleh Fatah.

“Masalah utama kami orang Islam pada bulan puasa adalah budaya makan makanan yang tinggi gula, sebab ini sudah menjadi budaya turun temurun.”

“Badan kita menagih tenaga yang tinggi kerana terbiasa makan makanan bergula dan bergoreng.”

“Namun sebagai atlet, mereka harus faham akan sensitiviti makanan ini kepada kesihatan dan diet seharian. Merekka masih boleh makan makanan berlemak, tetapi ianya bukan pilihan yang bagus untuk menghadapi kejohanan seperti Piala Dunia.”

Fatah juga menegaskan yang pemain tidak boleh sama sekali makan bergula terutama sekali manisan dari Palestine seperti dalam gambar di bawah ini. Kami pun tak tahu apa namanya, anda mungkin boleh sebutkan untuk kami.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN