Rundingan Selesai, 3 Pembaharuan Yang Akan Conte Corakkan Untuk Tottenham Hotspur

Antonio Conte Tottenham Hotspur

Antonio Conte akan kembali mewarnai pentas Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dilaporkan bersetuju untuk membimbing Tottenham Hotspur menggantikan Nuno Espirito Santo yang dipecat tempoh hari.

Pengarah Urusan Tottenham Hotspur, Fabio Paratici sebelum ini telah pun menyatakan keyakinan bahawa pihaknya akan dapat membawa masuk Antonio Conte sebagai pengurus baharu dalam masa terdekat.

Rundingan menjadi lebih mudah memandangkan Paratici bukanlah orang yang asing kerana mereka pernah bekerjasama di Juventus kira-kira sedekad yang lalu.

Conte bukanlah nama asing yang dikaitkan dengan kelab utara London itu. Semasa musim panas yang lepas Spurs telah pun merisik bekas pengurus Chelsea tersebut, namun rundingan gagal kerana pihak kelab enggan memenuhi beberapa permintaannya.

Tetapi pihak kelab bertindak menyingkir Nuno dari jawatannya hanya selepas empat bulan ekoran prestasi buruk yang dipamerkan sejak akhir-akhir ini, termasuk kekalahan 3-0 kepada Manchester United di tempat sendiri. Secara keseluruhannya Spurs telah tewas lima dari 10 perlawanan liga setakat ini.

Maka perhatian kini kembali tertumpu kepada Conte yang masih ‘menganggur’ sejak meninggalkan Inter Milan pada penghujung musim lalu sebaik sahaja membantu kelab Itali itu menjuarai Scudetto dan menamatkan kemarau 10 tahun tanpa trofi.

Conte dilaporkan mengikat kontrak selama 18 bulan untuk jurulatih warga Itali itu dan terdapat klausa khas yang membenarnya untuk meninggalkan pasukan sekiranya tidak bersetuju dengan arah tuju pasukan, seperti mana yang dilakukannya semasa meninggalkan Inter sebelum ini.

Sistem Pertahanan Bertiga

Perkara yang paling jelas sudah tentu sistem pertahanan bertiga yang sudah menjadi ‘trade-mark‘ buat pasukan yang dibimbing Conte. Itu sudah menjadi perkara asas dalam kerjaya kejurulatihannya.

Jadi kita mungkin akan disajikan dengan gandingan tetap Eric Dier, Davinson Sanchez dan Cristian Romero di kubu pertahanan Spurs sambil Joe Rodon dan Japhet Tanganga juga mempunyai kualiti yang baik sebagai sandaran.

Pastinya menarik untuk melihat Conte menggilap potensi Romero yang merupakan salah seorang pemain pertahanan terbaik di Itali pada musim lalu.

Son Sebagai Penyerang

Persoalan seterusnya adalah formasi yang akan Conte gunakan. Ketika di Juventus, beliau menerapkan sistem tengah berlian dan klasik 3-5-2, kemudian dengan Chelsea lebih cenderung kepada 3-4-3, manakala di Inter beliau kembali kepada 3-5-2.

Dengan dua pemain kreatif seperti Lucas Moura dan Steven Bergwin, kemungkinan besar Conte akan lebih cenderung kepada formasi 3-5-2 dan kita boleh menjangkakan pemain penting seperti Son Heung-min akan beraksi selaku penyerang.

Tanpa perlu berselindung, Song merupakan pemain terbaik Spurs untuk beberapa tahun kebelakangan ini dan pastinya Conte mahu memanfaatkan pemain dengan ‘work-rate‘ yang begitu tinggi ini dengan sebaiknya.

Seperti mana kita saksikan gandingan sempurna Lautaro Martinez-Romelu Lukaku di Inter, Spurs juga mempunyai gandingan Son-Harry Kane yang dianggap mempunyai hubungan telepati di atas padang.

Son boleh menggunakan kemahiran dan kelajuannya untuk mengkucar-kacirkan pertahanan lawan selain mampu menjaringkan gol di mana-mana sahaja. Kane pula mampu bertindak selaku penyerang utama yang bukan sahaja boleh menjaringkan gol, tetapi turut mampu memberi ruang kepada pemain lain melakukan serangan.

Tengah yang lebih kompak

Seperti yang diketahui, Tottenham di bawah Nuno merupakan pasukan dengan jumlah larian paling rendah dalam kalangan kelab EPL pada musim ini. Tetapi keadaan itu pastinya akan berubah di bawah Conte.

Taktikal jurulatih Itali memerlukan pemain melakukan larian terutamanya buat pemain di bahagian sisi atau sayap hasil dari gerakan yang direncanakan oleh pemain tengah.

Dalam sistem Conte, pemain seperti Giovani Lo Celso, Pierre-Emile Hojberg dan Tanguy Ndombele boleh menawarkan sesuatu yang berbeza.

Hojberg akan teruskan peranannya di garisan rendah yang akan menolak permainan ke atas. Ndombele pula boleh bertindak selaku pengumpan dalam masa yang sama mampu menghasilkan gol berdasarkan kualitinya. Manakala Lo Celso pula akan lebih bebas dengan peranannya selaku pemain tengah kotak ke kotak.

Dele Alli, Harry Winks dan Oliver Skipp melengkapkan senarai trio tengah yang akan membentuk variasi permainan buat Tottenham Hotspur selepas ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN