Kempen Malaysia dalam kejohanan rantau Asia Tenggara berakhir. Kita gagal mara ke separuh akhir selepas tewas 1-0 di tangan Myanmar. Berikut adalah rumusan kami.
Persediaan
Malaysia berhadapan dengan isu persediaan yang agak kucar-kacir. Bermula dengan persaraan mengejut beberapa tonggak utama skuad kebangsaan.
Kita gagal untuk menggantikan mereka dengan gedung bakat yang kita ada.
Seterusnya adalah pemilihan oleh Datuk Ong Kim Swee yang memilih terlalu ramai pemain yang tidak memiliki minit yang banyak sepanjang musim liga.
Jelas sekali impak dari segi kecergasan dan ketajaman teknikal pemain dalam perlawanan.
Dari segi perlawanan pemanas badan, kita memiliki jumlah yang cukup. Cuma, dalam proses persediaan 3 atau 4 perlawanan terakhir, Ong Kim Swee tidak ada skuad utama bayangan dan tatikal utama.
Atau dalam bahasa universalnya, kita tidak memiliki recognized 11 atau recognized 16 dan juga recognized tactic. Bila hal ini berlaku, perlawanan pemanas badan itu hanya menjadi ujian kecergasan.
Perlawanan Pembukaan vs. Kemboja
Status Perlawanan : Harus Menang (Winnable)
Penilaian Misi : Lulus Dengan Baik
Tidak keterlaluan kalau kami menyatakan kita menang kerana aspek teknikal bukannya taktikal. Pasukan Kemboja jelas pasukan yang lebih ada keinginan untuk bermain secara tatktikal.
Namun, yang positifnya adalah respon kita untuk menang selepas ketinggalan kali kedua pada kedudukan 2-1.
Rumusan kami adalah, ia keputusan yang sangat baik untuk bangkit dan menang. Namun ia bukan permainan berpasukan yang baik.
Perlawanan Kedua vs. Vietnam
Status Perlawanan : Jangan Kalah (Not To Lose)
Penilaian Misi : Gagal
Perlawanan ini kita boleh menang jika lebih tajam dan lebih bermain secara berpasukan. Ini kerana Vietnam tidak bermain bola sepak terbaik mereka.
Ada sedikit simpton menghormati Malaysia dari segi permainan Vietnam. Namun isu terputus hubungan dalam permainan menjadi isu kali ini.
Perlawanan Terakhir vs. Myanmar
Status Perlawanan : Mesti Menang (Must Win)
Penilaian Misi : Gagal
Perlawanan ini adalah gambaran masa depan bola sepak Myanmar pada tahun tahun mendatang. Mereka menghantar bakat muda dalam kejohanan kali ini.
Majoriti pemain mereka adalah pemain dari pasukan ini rata-rata berusia sekitar 23-25 tahun. Hanya 3 pemain berusia lebih 25 tahun.
Skuad remaja mereka juga bermain dalam Piala Dunia B-20 Tahun New Zealand 2015.Myanmar bukan sebuah pasukan yang sempurna namun mereka jelas pasukan yang membangun.
Mereka bermain lebih baik dalam perlawanan ini. Malaysia bermain tanpa ada lebih motivasi untuk menang sedangkan Myanmar hanya memerlukan seri dalam perlawanan ini.
Apa Yang Dapat Kita Pelajari?
1. Taktikal
Berlaku peningkatan yang ketara dari segi permainan taktikal pasukan-pasukan seperti Kemboja dan Myanmar. Vietnam sendiri dalam kesukaran kali ini.
Thailand berada di kelas yang berbeza dengan pendekatan taktikal lebih moden dan pengurusan dalam perlawanan (in game management) yang sangat baik.
Negara kita perlu memikirkan satu usaha pragmatik dalam isu pembangunan taktikal. Bola sepak moden bukan lagi bergantung kepada kekuatan fizikal.
Ia lebih holistik, melibatkan kecergasan dan kecerdasan.
Pengulas sukan, Shebby Singh menggariskan isu pengurusan pasukan ketika perlawanan. Beliau berpendapat Malaysia dan Singapura memiliki kelemahan dari segi perancangan pemain gantian.
Misalnya, bila pemain patut masuk dan bila taktikal harus ditukar ataupun dikekalkan. Dari segi taktikal dan pasukan utama, kami sudah jelaskan di atas.
2. Serangan Kita Tumpul
Kebanjiran pemain import yang selalunya menjadi calon wajib mengisi kekosongan jawatan itu adalah alasan yang kita kerap laungkan.
Bagaimana pula dengan negara seperti Thailand, Jepun dan Korea Selatan yang kualiti pemain import mereka lebih tinggi.
Di sini kita perlu meningkatkan kompetensi pemain-pemain tempatan kita untuk bersaing dengan pemain-pemain import ini.
Di peringkat kelab, setiap pasukan kejurulatihan boleh membantu dalam pembangunan ini.
3. Pemilihan Pemain
Berdasarkan pemerhatian, terlalu kerap Ong Kim Swee memanggil pemain yang terlalu kurang minit ke dalam pasukan. Beza sangat ketara adalah kecergasan.
Anda pasti perasan kecergasan pemain seperti Rizal Ghazali dan Ronny Harun yang cukup baik kerana mereka ada minit yang banyak pada musim ini.
Pemain yang kurang minit juga tidak cukup tajam dalam gerakan dan ketika membuat keputusan. Dengan gedung bakat yang agak kecil, ia memang satu cabaran besar untuk mencari pemain terbaik dari aspek kecergasan dan ketajaman.
Pemain seperti Safee Sali kami rasakan dipanggil atas dasar pengalaman dan menambah kekuatan di bangku simpanan. Ia agak diterima.
Selamat Tinggal Piala AFF Suzuki 2016!
Ia keputusan yang mengecewakan namun kami tetap mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pemain yang sudah memberikan komitmen kepada skuad kebangsaan.
Ia mungkin Piala AFF terakhir untuk beberapa pemain kita. Terima kasih di atas sumbangan anda!
Dari awal lagi kami menjangkakan ia bukan misi mudah untuk skuad kebangsaan kita. Namun kami tetap merasakan mara ke pusingan kedua adalah KPI yang harus dicapai dan kita gagal untuk melakukannya.
Baca juga : Previu Laluan Malaysia Dalam Kumpulan B Piala AFF 2016, Aspirasi, Ekspektasi Dan Cabaran