Penjaring terbanyak Liga Super 2018, Rufino Segovia tekad mengembalikan zaman kegemilangan Selangor apabila menyasarkan untuk meraih pelbagai kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
Bekas penyerang Atletico Madrid itu menjaringkan 19 gol dalam saingan Liga Super musim ini serta menyumbat sembilan gol untuk membantu skuad Red Giants mara ke final Piala FA.
Walaupun mendapat pelbagai tawaran daripada pasukan lain, beliau memilih untuk kekal dengan Selangor kerana sudah selesa berada di sini.
“Saya ada menerima beberapa tawaran daripada kelab lain di Malaysia dan juga luar negara, tapi apabila Selangor menawarkan kontrak baru kepada saya, sudah pasti sukar untuk ditolak.
“Selangor memberi peluang beraksi di sini selama lebih setahun dan mereka juga membantu menaikkan nama saya di sini,” katanya dalam Berita Harian.
Tidak sabar memulakan musim baharu bersama Selangor
Penyerang yang berusia 33 tahun itu turut mengakui sudah tidak sabar untuk beraksi selepas mempamerkan prestasi cemerlang pada musim ini.
“Saya mahu membantu Selangor memenangi trofi musim ini dan untuk individu, saya mahu menjaringkan banyak gol untuk pasukan.
“Pihak pengurusan membawa masuk jurulatih baru (B Sathianathan) dan beberapa pemain baru. Kami perlu berusaha keras dan saya percaya peluang untuk memenangi kejuaraan sentiasa ada untuk mana-mana pasukan termasuk Selangor,” katanya.
Bagi ketua jurulatih Selangor, B. Satiananthan, impian untuk meraih kejuaraan dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia bukanlah perkara yang mustahil jika para pemainnya yakin dengan kemampuan diri dan memiliki semangat juang yang tinggi.
“Kalau boleh saya mahu semua (kejuaraan). Saya ingatkan pemain dan selalu ingatkan diri saya bahawa saya mahu menang kesemuanya.
“Ini semua adalah mentaliti kita. Kalau mentaliti kita cukup kuat dan yakin dengan kebolehan kita ditambah dengan motivasi dan gambaran jelas kepada pemain, tiada apa yang mustahil….kita boleh pergi jauh,” katanya seperti dipetik dalam Sinar Harian.