Bekas penyerang sensasi muda negara, Rozaimi Abdul Rahman punyai misi tersendiri selepas mengumumkan meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT), tiga hari lalu.
Beliau mahu memburu minit permainan disamping cuba menarik perhatian pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk dipanggil menyertai kem skuad kebangsaan. Sudah beberapa musim beliau terperuk di saingan Liga Premier bersama JDT II selepas gagal menempatkan diri bersama skuad utama juara tujuh kali Liga Super itu.
Sememangnya bukanlah tugasan mudah untuknya memecah masuk ke skuad utama JDT kerana walaupun mempamerkan prestasi yang baik bersama JDT II, beliau tetap tidak berada dalam perancangan skuad utama dek kerana persaingan yang sengit.
Selepas lima tahun, akhirnya pemain berusia 28 tahun memutuskan untuk mencari cabaran baharu. Tetapi, beliau tetap berterima kasih kepada JDT kerana telah memulihkan kariernya yang hampir berakhir selepas mengalami kemalangan teruk.
Adakah JDT Sengaja Menandatangani Pemain Yang Mengalami Kecederaan? – https://t.co/lP3HOVg0Vo pic.twitter.com/gFx9fa6oYw
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) February 25, 2019
Pada Julai 2015, Rozaimi telah terlibat dalam kemalangan jalanraya dan dijangka perlu berehat sehingga 6 bulan. beliau kemudian menyertai JDT pada Januari 2016, namun malangnya mengalami kecederaan ACL ketika dalam proses pemulihan.
Memetik kata Rozaimi di Instagramnya, “Alhamdulillah dengan fasiliti terbaik yang TMJ sediakan di JDT, saya mampu untuk meneruskan karier saya semula. Terima kasih sekali lagi Boss atas peluang dan kepercayaan yang telah diberikan.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada ‘Boss’ saya, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, @hrhcrownprinceofjohor Tunku Mahkota Johor yang meletakkan kepercayaan kepada saya dari dulu lagi,” ujarnya lagi sambil turut mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang telah bersamanya sepanjang kariernya di sana.
https://www.instagram.com/p/CHxTOjQBDi-/
Bercakap kepada Stadium Astro, Rozaimi memaklumkan menerima empat tawaran daripada pasukan yang bersaing di Liga Super. Menurutnya, “Pasukan yang akan disertai saya itu mestilah mampu membantu saya mencari prestasi sebenar.”
“Selain mahu mendapatkan minit permainan, saya berharap dapat membantu mereka pergi lebih jauh,” tambahnya mengenai misinya bersama pasukan baharu nanti.
Menjawab kepada persoalan masih berminat untuk mewakili skuad kebangsaan, Rozaimi dipetik berkata, “Sudah lama saya tidak beraksi di peringkat antarabangsa, terpulang kepada jurulatih untuk menilainya. Tetapi saya perlu bermain dalam Liga Super barulah saya layak beraksi untuk pasukan kebangsaan. Itulah niat saya.”
KREDIT FEATURED IMAGE: JST
Baca lagi artikel mengenai Rozaimi Abdul Rahman dan JDT:
Adakah JDT Sengaja Menandatangani Pemain Yang Mengalami Kecederaan?