Bekas ketua pasukan Manchester United, Roy Keane berasakan yang tindakan kelab untuk memotong gaji pemain mereka sewaktu wabak Covid-19 ini adalah tidak wajar.
Menurut laporan Sky Sports, Keane mengatakan yang pemain yang beraksi untuk pasukan-pasukan utama di Premier League tidak perlu ditekan oleh pemilik kelab untuk memotong gaji.
Hal ini kerana, situasi kini menyaksikan pasukan-pasukan mengambil langkah untuk memotong gaji pemain bagi menjimatkan perbelanjaan kelab sepanjang liga ditangguhkan.
“Pemain yang beraksi di kelab besar kini ditekan oleh pemilik mereka yang mempunyai begitu banyak wang.”
“Jelas sekali pemain mempunyai tekanan sekarang, tetapi ianya bukanlah hal orang lain untuk ambil kisah mengenai apa yang pemain hendak buat dengan duit gaji mereka. Mereka ambil gaji mereka dan jika mereka mahu jadi pemurah dengan menderma, silalah buat.”
Sebelum ini terdapat kontroversi melibatkan pemain Arsenal iaitu Mesut Ozil yang secara terbuka memilih untuk tidak mengikut arahan kelab untuk memotong gaji.
Ozil mengatakan yang beliau tidak jelas dengan bagaimana Arsenal akan menggunakan wang hasil potongan gaji tersebut dan implikasi terhadap kewangan yang berlaku di hari muka.
Dalam masa yang sama, Keane juga berpendapat kelab perlu menghormati kontrak yang telah dipersetuju oleh kedua-dua pihak.
“Mereka telah menandatangani kontrak dan kontrak pemain dengan kelab adalah perkara yang peribadi.”
“Idea untuk pemain perlu potong gaji atau pemain perlu lakukan itu ini saya rasa ianya mengarut. Terpulang kepada pemain apa mereka nak buat dengan duit mereka.”