Nama Malaysia kembali harum apabila Pengerusi Jawatankuasa Media, Komunikasi dan Perhubungan Awam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Christopher Raj dan bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd Salleh dipilih untuk bertugas ke Qatar bagi saingan Piala Dunia 2022.
#BHsukan Dua anak tempatan kelahiran Pulau Pinang, Subkhiddin Mohd Salleh dan Christopher Raj akan mewakili negara bagi tugasan Piala Dunia Qatar yang akan membuka tirai pada 20 November ini.https://t.co/8r9hy26xRK
— Berita Harian (@bharianmy) November 3, 2022
Namun, selain kedua mereka ini masih ada lagi individu-individu lain turut dijemput ke sana untuk menjalankan kerja di belakang tabir iaitu Master Cef Azizan Shukri dan Sous Cef Mohd. Jailani Hamzah.
Mereka berdua akan ke negara tersebut pada Isnin depan bagi menganggotai barisan tukang masak yang akan bertugas sepanjang temasya tersebut berlangsung.
Kedua cef tersebut sebelum ini telah berkhidmat bersama salah satu restoran terkemuka iaitu Casa de Madani yang terletak di Selangor.
Lebih unik, Cef Azizan pada awalnya bermula sebagai seorang penebar roti canai sahaja sebelum beliau kini bertanggungjawab dalam setiap menu dihidangkan dalam Restoran Fine Dining, Casa de Madani.
Cef Casa de Madani ke Piala Dunia 2022 https://t.co/YMl60XSMfm
— Malakat.Tribune (@MalakatTribune) November 4, 2022
“Insya Allah, saya dan Jailani akan ke Doha pada minggu depan.
“Tugas kami adalah memasak hidangan bagi pasukan yang mengambil bahagian dalam temasya itu,” kata Cef Azizan menerusi Malakat Tribune News.
Kejayaan dua individu yang dipilih ini berdasarkan prestasi mereka sebelum itu ketika bertugas di beberapa temasya lain seperti Olimpik Musim Sejuk di Pyeongchang, Korea Selatan pada 2018, dan Kejohanan Ragbi Piala Dunia 2019 di Tokyo.
“Jemputan ini merupakan satu penghargaan kepada Casa de Madani, satu perakuan bahawa restoran ini mempunyai cef yang berkemahiran tinggi dan bertaraf dunia,” tambah Cef Azizan.
Pada masa sama, Cef Azizan turut menyatakan tugasnya untuk menyelia lebih kurang 100 cef dari seluruh dunia untuk menyediakan hidangan terbaik buat semua yang terlibat.
Selain itu, Jailani yang turut serta bersama Cef Azizan mengakui inj merupakan satu peluang terbaik yang bakal dijadikan sebagai pengalaman buat dirinya dalam karier masakan.
“Sudah tentu, pengalaman ini amat berharga, selain berpeluang berjumpa dengan pemain bola sepak ternama dunia, saya juga akan bertugas dalam kalangan cef lain bertaraf dunia. Moga pengalaman ini dapat saya manfaatkan bagi menaikkan lagi nama Casa de Madani nanti,” kata Jailani.
Saingan Piala Dunia 2022 bakal berlangsung di Doha, Qatar pada 20 November ini sehingga 18 Disember untuk mengetahui siapa juara kejohanan tersebut.
Ianya bakal melibatkan 32 negara terbaik yang mewakili benua masing-masing untuk merebut kejuaraan paling berprestij dalam dunia bola sepak profesional tersebut.