Apabila semua pemain Terengganu FC (TFC) II mempamerkan prestasi terbaik dan komitmen yang tinggi, ianya sudah tentu satu perkara yang positif buat ketua jurulatih, Roshadi Wahab terutamanya menjelang aksi pembukaan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan bermula beberapa hari sahaja lagi.
Ia membuktikan setiap pemain berada dalam motivasi yang baik dan berusaha untuk merebut tempat dalam pasukan. Tetapi disebalik perkara positif tersebut, ada perkara yang ‘merunsingkan’ pengendali baharu itu.
Bercakap kepada Berita Harian selepas perlawanan persahabatan menentang pasukan Terengganu FC (TFC) di Padang C, Stadium Gong Badak pada petang Ahad, Roshadi mengakui beliau berdepan tugas sukar untuk memilih kesebelasan utama pemain yang akan diturunkan.
“Sekarang kami berada dalam situasi ‘pening kepala’ untuk memilih kerana semua pemain menunjukkan komitmen tinggi ketika sesi latihan dan dalam perlawanan persahabatan pramusim.
“Jadi saya perlu ambil masa sedikit lagi untuk tentukan pemain yang akan membarisi kesebelasan utama walaupun bayangan itu sebenarnya sudah ada. Ini ditambah persiapan pasukan juga berjalan dengan lancar dan berada pada tahap terbaik untuk mengharungi kancah liga musim ini.”
Bercakap mengenai keadaan pemain pertahanan import dari Montenegro, Argzim Redzovic yang dilanda kecederaan sebelum ini, Roshadi menjelaskan pemain berkenaan sudah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk diturunkan menjelang aksi pertama.
Beliau turut berpuas hati dengan prestasi penyerang baharu, Jordan Mintah yang mempamerkan permainan baik dan yakin pemain import dari Ghana itu mampu menyinar dalam saingan Liga-M.
“[Jordan] Mintah juga setakat ini mempamerkan permainan dan semangat kesukanan yang baik dengan melakukan banyak ‘assist’ kepada Bruno dan memberi ruang untuk pemain lain menjaringkan gol,” katanya lagi.
“Kami harap dengan berbaki seminggu sahaja lagi sebelum bermula perlawanan sebenar, kami dapat memutuskan pemain yang bakal beraksi di posisi masing-masing.”
Perkembangan itu nyata melegakan beliau memandangkan keempat-empat pemain importnya bebas daripada masalah kecederaan dan bersedia untuk menggempur kubu lawan.
Untuk kempen Liga Premier, TFC II telah pun menyasarkan kedudukan tiga pasukan terbaik pada musim ini. Pencapaian terbaik pasukan berkenaan sejak menjadi pasukan simpanan adalah muncul juara Piala Cabaran pada tahun 2018.
Kredit Foto: TFC II