Rooney: Pengurusan Bola Sepak England Buat Pemain Seperti ‘Tikus Belanda’

Wayne Rooney mengkritik pihak autoriti yang menguruskan bola sepak di England kerana mengambil masa yang terlalu lama untuk menggantung semua perlawanan di negara itu selepas berlaku masalah penularan wabak COVID-19. Beliau mendakwa pemain bola sepak dianggap seperti ‘tikus belanda’

Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Bola Sepak Inggeris (EFL), Liga Super Wanita serta Piala FA telah digantung berikutan mesyuarat tergempar yang diadakan susulan daripada pengurus Arsenal, Mikel Arteta yang disahkan positif wabak coronavirus sehari sebelum itu.

“Kenapa perlu tunggu sehingga hari Jumaat? Kenapa perlu tunggu sehingga Arteta sakit untuk buat satu keputusan yang betul?” Tulis bekas penyerang Manchester United itu dalam akhbar Times.

“Bagi pemain, staf dan keluarga mereka, ia adalah minggu yang cukup membimbangkan. Tapi sebagai pihak autoriti, di mana rasa bertanggungjawab kamu untuk menghadapi perkara ini?

“Selepas mesyuarat itu, akhirnya keputusan yang betul telah dibuat. Sehingga waktu itu, semua pemain di England hanya dianggap seperti ‘tikus belanda’.”

Kata Rooney, beliau tidak akan memaafkan pihak autoriti sekiranya ada mana-mana ahli keluarganya yang dijangkiti wabak itu disebabkan berlaku sentuhan dengan dirinya.

“Sukan-sukan lain seperti tenis, Formula One, ragbi, golf dan bola sepak di negara-negara lain telah pun dihentikan, tetapi kami disuruh untuk teruskan seperti biasa.

“Saya rasa kebanyakan pemain bola sepak di sini tentu hairan, ‘adakah ianya melibatkan soal wang atau keuntungan?’ Syukurlah akhirnya satu keputusan yang tepat telah dibuat. Kita perlu tangguh dulu musim ini.

“Jika ada nyawa manusia dalam risiko, itu perlu diutamakan dahulu.”

Rooney yang kini bersama pasukan Derby County turut mencadangkan supaya kalender pertandingan dianjak selepas liga bermula semula selepas ini.

“Kami tiada masalah untuk bermain sehingga September sekiranya musim ini perlu ditangguhkan sehingga waktu yang sesuai. Itu ada tugas kami yang perlu diselesaikan. Asalkan kami tahu keadaan dan persekitaran sudah selamat.

“Piala Dunia akan datang akan berlangsung pada November dan Disember 2022, jadi ini peluang untuk kamu tamatkan musim ini lebih lewat dan bersedia untuk memulakan musim baharu pada musim sejuk.”

Leave a Reply