Gaji pemain yang dibayar di Major League Soccer (MLS) dianggap terlalu rendah, itulah yang dirasakan oleh Wayne Rooney mengenai liga tersebut.
Namun begitu ianya bukanlah mengenai bayaran gaji yang diterima oleh pemain luar seperti dirinya, sebaliknya melibatkan para pemain dari Amerika Syarikat sendiri.
Menurut laman Goal, Rooney berasakan gaji yang diberikan untuk bakat tempatan begitu minima jika hendak dibandingkan dengan keuntungan yang dicatatkan oleh kelab-kelab MLS.
“Saya rasakan gaji adalah isu yang utama di Amerika Syarikat. Jika dilihat dengan keuntungan yang dibawa masuk oleh liga, pemain muda tempatan dibayar cukup rendah di sini.”
“Mereka berhak dapat lebih lagi, mereka bekerja sama dengan kami dan berlatih sama banyak dengan kami. Saya rasakan mereka ini seperti diambil kesempatan sahaja oleh pasukan.”
Di Amerika Syarikat, sistem gaji siling atau salary cap diperkenalkan untuk membolehkan pasukan berbelanja tidak melebihi bajet.
Bagi pemain luar dan berstatus bintang seperti Rooney dan Zlatan Ibrahimovic, mereka mempunyai gaji siling yang lebih tinggi berbanding pemain tempatan di sana.