Wayne Rooney berkata ianya adalah satu penghormatan besar untuk diberikan peluang terakhir menyarung jersi skuad kebangsaan England untuk mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong The Three Lions itu.
Bekas penyerang Manchester United dan Everton itu kini beraksi bersama DC United di Amerika Syarikat- merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak England.
Bersedia diturunkan
Pemain berusia 33 tahun itu dijangka akan beraksi dalam sebahagian perlawanan skuad kendalian Gareth Southgate di Stadium Wembley menentang Amerika Syarikat pada Khamis akan datang.
Ketika bercakap kepada media kelab, seperti yang disiarkan di laman sesawang rasmi DC United, Rooney dipetik sebagai berkata:
“Saya tidak tahu berapa jauh penglibatan saya dalam perlawanan tersebut. Saya akan bercakap kepada [pengurus] Gareth Southgate, dan saya akan gembira jika diarahkan beraksi. Ia terpulang kepada Gareth [Southgate] untuk memutuskannya,” ujar beliau.
The Wayne Rooney Foundation International
Perlawanan pada Khamis akan datang digelar ‘The Wayne Rooney Foundation International’, sebagai penghargaan untuk sumbangan pemain itu dan juga kerja amal yang dilakukannya.
Mengikut perancangan asal The FA, Rooney akan tampil pada babak kedua perlawanan, namun tidak akan menjadi kapten atau diberikan jersi No.10 yang sinonim dengan pemain tersebut.
Rooney telah menjaringkan 53 gol dari 119 penampilan untuk England sejak kali terakhir tampil bersama pasukan negaranya pada November 2016 menentang Scotland.
Masih perlawanan penting
“Ia adalah satu penghormatan apabila Football Association mengadakan perlawanan ini untuk saya. Ia masih perlawanan yang penting kerana ia bertujuan melakukan kutipan untuk kerja amal bersama kanak-kanak.
“Untuk beraksi bersama-sama skuad ini, dan berjumpa dengan rakan lama dan Gareth Southgate serta barisan kejurulatihan yang lain pasti akan menjadi detik penting untuk saya,” tambah beliau lagi.
Rooney mengumumkan persaraan dari pentas bola sepak antarabangsa pada Ogos tahun lalu.