Legenda hidup Manchester United, Wayne Rooney mengakui bahawa bekas rakan sepasukannya, Park Ji-sung memainkan peranan yang cukup penting dalam membantu The Red Devils menjadi sebuah unit yang kuat pada satu ketika.
Seperti yang diketahui terutamanya dalam kalangan peminat Manchester United, pemain kelahiran Seoul, Korea Selatan itu mempunyai disiplin serta kegigihan di tahap tertinggi sewaktu berada di atas padang.
Sehubungan dengan itu, Rooney melabelkan peranan yang dimainkan oleh Ji-sung sama pentingnya dengan fungsi Cristiano Ronaldo buat kelab tersebut.
Ji-sung yang mula berhijrah ke Old Trafford pada musim 2005/06 telah menaburkan baktikanya buat Manchester United serta bergandingan bersama Rooney selama tujuh musim.
Beliau kemudiannya memilih untuk menyertai Queens Park Rangers [2012/13] yang ketika itu berbelanja besar mendapatkan pemain nama besar.
Bersama Manchester United, Ji-sung telah berjaya menjulang empat kejuaraan Liga Perdana Inggeris, satu trofi Liga Juara-Juara Eropah serta tiga kali meraih gelaran juara Piala Liga.
”Ia sesuatu yang gila tetapi apabila anda menyebut nama Cristiano Ronaldo kepada kanak-kanak berusia 12 tahun, mereka sudah pastinya akan mengatakan,’ Ya, dia merupakan pemain yang cemerlang buat Manchester United’. Tetapi, jika anda menyebut tentang ‘Park Ji-sung’, mereka tentu tidak mengenali siapakah dia.”
”Namun, bagi kami yang beraksi bersama-sama Park mengetahui bahawa dia merupakan seorang pemain yang sangat penting buat kejayaan kami,” ujar Rooney menurut laporan Goal.
”Ini kerana Park memberikan segala-galanya buat pasukan dan saya mahu mengatakan tentang pasukan ini [Manchester United]. Mereka – bukan pemain bintang – adalah perkara paling penting dalam sukan.”