Pemain Manchester United, Cristiano Ronaldo, mungkin berjaya mengelirukan pertahanan dan penjaga gol lawan dalam usaha mendapatkan gol.
Namun di luar padang, Ronaldo pula yang dikelirukan sehingga ditipu.
Baru-baru ini, bintang Portugal itu didapati telah ditipu oleh seorang wanita yang menjadi ejen pelancongan.
Wanita berusia 53 tahun itu telah menipu Ronaldo ‘hidup-hidup’ selepas menyalahgunakan kad kredit yang diamanahkan pemain itu kepadanya.
Ronaldo mengamanahkan wanita tersebut untuk menjaga kad kredit tersebut dengan segala butiran mengenai kad kredit itu diketahui olehnya.
Wanita itu kemudiannya menyalaguna kad kredit tersebut lalu melakukan 200 perjalanan pelancongan yang langsung tidak dilakukan oleh Ronaldo.
Ianya tidak dapat dipastikan sama ada Pulau Langkawi turut termasuk dalam senarai 200 perjalanan itu.
Hasil dari tindakan wanita itu, Ronaldo kerugian sebanyak €288 ribu dan bukan beliau sahaja yang menjadi mangsa.
Ejen Ronaldo sendiri seperti Jorge Mendes dan rakan-rakan Portugal beliau iaitu Nani dan Bruno Fernandes turut ditipu wanita tersebut.
Ia menjadikan jumlah penipuan yang berjaya dilakukan oleh wanita tersebut adalah sebanyak €350 ribu.
Wanita tersebut sudah pun dijatuhkan hukuman oleh pihak mahkamah dengan dipenjara selama empat tahun.