Pemain pertahanan Belanda, Matthijs de Ligt yang dijangka akan meninggalkan Ajax dalam tempoh terdekat mendedahkan beliau telah ditanya oleh Cristiano Ronaldo untuk kemungkinan menyertai Juventus selepas tamat perlawanan UEFA Nations League awal pagi tadi.
Ronaldo mengetuai skuad Portugal menewaskan Belanda 1-0 di perlawanan akhir UNL, mengecewakan Matthijs de Ligt – dikaitkan dengan beberapa kelab utama Eropah sejak musim lalu.
Bercakap mengenai perjumpaan beliau dengan Ronaldo, De Ligt berkata:
“Pada mulanya saya tidak memahami beliau. Saya sedikit terkejut, kemudian tertawa. Tetapi saya tidak berkata apa-apa,” ujar De Ligt kepada siaran televisyen Belanda, NOS.
“Disebabkan perlawanan baru tamat, anda tidak berfikir mengenai perkara [hal perpindahan] itu. Saya kecewa kerana tewas dan hanya itu perkara yang difikirkan ketika itu,” tambah De Ligt lagi.
Prestasi cemerlang De Ligt bersama Ajax pada musim ini sehingga berjaya mara ke separuh akhir UEFA Champions League, menjadikan pemain berusia 19 tahun itu sebagai pemain paling dikehendaki di jendela perpindahan antarabangsa yang akan dibuka esok.
Tetapi pemain pertahanan tengah ini berkata beliau belum membuat keputusan berkenaan masa depan dan berpendapat beliau tidak perlu terburu-buru berbuat demikian.
“Saya tidak berapa kisah mengenai [perpindahan] itu. Jendela perpindahan akan dibuka. Sebelum itu, saya mahu bercuti dan berehat. Selepas itu baru lah kita lihat apa yang akan berlaku,” ujar beliau.
Barcelona adalah pilihan utama untuk mendapatkan tandatangan De Ligt. Namun demikian Paris Saint-Germain (PSG) dikatakan telah menggandakan bayaran untuk mendapatkan pemain ini. Manchester United, Manchester City, Liverpool dan Juventus juga adalah destinasi kemungkinan untuk De Ligt pada musim hadapan – tatkala prospek untuk terus kekal bersama Ajax turut kekal sebagai satu kemungkinan.