Penyerang legenda Brazil, Ronaldo Luis Nazario De Lima memuji bintang Liverpool, Mohamed Salah dengan mengatakan bahawa pemain antarabangsa Mesir itu sebagai seorang pemain yang ‘luar biasa’.
Dalam pada itu, Ronaldo yang pernah beraksi untuk Real Madrid menyifatkan Salah telah mengingatkannya tentang Lionel Messi.
Pemain berusia 25 tahun itu menjadi tonggak utama Liverpool selepas menjaringkan 44 gol pada musim pertamanya di Anfield.
Pencapaian hebat yang dinikmati Salah terutamanya dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara Eropah ternyata mencuri perhatian Ronaldo.
Beliau menganggap Mohamed Salah mempunyai persamaan dengan bintang Barcelona dari Argentina itu.
”(Mohamed) Salah, saya meminatinya. Dia merupakan pemain yang luar biasa dengan kualiti yang sangat hebat.”
”Dia kelihatan seperti Lionel Messi. Baru-baru ini, saya telah membaca bahawa Salah telah menyatakan bahawa saya merupakan inspirasinya dan saya sungguh gembira.”
Walaupun memuji kehebatan yang dimiliki Salah, bekas peledak berbisa berusia 41 tahun itu menjangkakan Real Madrid menggungguli Liga Juara-Juara Eropah buat kali ketiga berturut-turut sekaligus mengumpul kejuaraan ke-13.
”Keputusan saya adalah kemenangan 3-2 buat Real Madrid.”
”Jika mereka (Real Madrid) memenangi perlawanan akhir itu, ia akan menjadi satu peristiwa yang tidak pernah berlaku dalam sejarah kelab. Saya sangat optimis.”
”Terdapat keraguan buat pasukan itu pada musim ini, tetapi Real Madrid kembali bangkit bersama dan telah mencapai sesuatu yang bersejarah.”
Mohamed Salah pasti menjadi sandaran utama buat Liverpool untuk menghalang pencapaian bersejarah buat Real Madrid itu.
Sekaligus membantu pasukannya untuk kembali meraih kejuaraan liga paling berprestij di Eropah itu selepas The Reds kali terakhir menjuarainya pada musim 2004/05 di Istanbul.