Quantcast
Ronaldo Il Fenomeno, Lagenda No.9 Terbaik Sepanjang Zaman


KAJIAN & FAKTA

Ronaldo Il Fenomeno, Lagenda No.9 Terbaik Sepanjang Zaman

Friday, 6 Jan 2017

Ada yg menyifatkan beliau adalah pemain terbaik dalam sejarah bolasepak. Pada 2007, Sir Bobby Robson pernah berkata:

“Jika anda mahu tahu pemain terbaik yang pernah saya uruskan? Ianya soalan yang amat sukar, tetapi ianya ialah Ronaldo dari Brazil.”

Jika pada hari ini, generasi yg ada melihat Messi dan Cristiano Ronaldo sebagai rujukan pemain terbaik. Namun pada era 90-an dan awal millenium kita menyaksikan Ronaldo Il Fenomeno sebagai pemain yg menjadikan bolasepak sebagai seni yang cantik dan indah.




Kehidupan Awal

Di pertempatan padat Rio Di Janeiro, Ronaldo menghabiskan masa dengan bermain bolasepak sejak dari kecil.

Ronaldo menyertai Ramos Social pada usia 12 sebelum dan berpindah ke Sao Christavao yg diuruskan oleh lagenda Brazil Jairzinho.

Setelah menyaksikan potensi Ronaldo, Jairzinho mengesyorkan Ronaldo berpindah ke Cruzeiro pada usia 16 tahun.

Musim pertamanya dalam Campeonato Brasileiro, Ronaldo meledak 44 gol. Ia amat mengagumkan sejak era ‘budak’ 16 tahun Pele pada 1958.

Di Brazil, ramai bintang bola sepak bermula dengan bolasepak jalanan. Namun emak Ronaldo tidak sukakan hobi itu.

“Tiap kali dihalang oleh emak, saya terpaksa menipu mengatakan saya bermain di sekolah kerana bermain di jalanan agak bahaya. Kami sentiasa ada bola bersama kami.”- Ronaldo.

Piala Dunia 1994, Batu Loncatan Ke Eropah

Ronaldo disenaraikan dalam skuad juara Piala Dunia Brazil pada 1994. Beliau diintip oleh Piet De Visser, antara scouts terbaik dalam bola sepak dunia.

De Vissier orang yang mengesan bakat Romario sebelum itu. Di Vissier kini penasihat Abramovich di Chelsea sejak 2005.

Ronaldo dibawa masuk ke PSV Eindhoven. Prestasi Ronaldo meningkat naik dengan mendadak, menjaringkan 57 gol dalam hanya 54 perlawanan. Beliau membantu skuad Olimpik Brazil 1996 Brazil menang gangsa.

Ke Barcelona

Pada 1996, Ronaldo menyertai Barcelona dan membantu Barca memenangi Copa del Rey, dan Juara UEFA Cup. Beliau meledak 47 gol daripasa 49 perlawanan dan diikitiraf FIFA World Player of the Year pada 1997.

Menjadikan Ronaldo sebagai pemain termuda yang pernah menerima anugerah pada usia 20 tahun. Ronaldo telah mengubah classic target man berbadan besar yang terlalu minta disuap di dalam kotak penalti.

Beliau sendiri pernah menggelarkan peranan itu sebagai ‘total no.9.’ Namun istilah ini tidak diangkat lebih baik dalam leksikon bola sepak dunia kerana media Sepanyol tidak seperti Itali dan Jerman.

Ia mungkin merujuk kepada corak bola sepak Barcelona yang berteraskan total football. Namun pemerhati bola sepak mulai menggelarkan beliau sebagai penyerang lengkap (complete attacker).

Beliau boleh menjaringkan gol, boleh mencipta gol dengan sendiri, boleh melakukan gelecekan dari tengah padang, berfizikal tegap, laju dan sangat teknikal.

“Saya suka menjaringkan gol dengan melepasi semua pemain pertahanan dan penjaga gol. Ini bukan keistimewaan saya, tetapi ia adalah tabiat saya.”- Ronaldo

Inter Milan

Pada tahun 1998, Barcelona menerima bidaan rekod dunia £18 juta dari Inter Milan. Ronaldo menghasilkan 34 gol pada musim pertama beliau.

Menjadi pemain pertama yang pernah memenangi anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA secara berturut-turut (1997&1998). Dia juga menggondol Ballon D’Or 1997.

Piala Dunia 1998

Ronaldo ke Piala Dunia 1998 sebagai pemain tumpuan utama kejohanan. Beliau juga dijadikan antara publisiti kejohanan. Media mencanang ini Piala Dunia Ronaldo.

Ini kerana pada 1994, beliau hanyalah watak tambahan, kali ini beliau adalah watak utama.

Beliau menjaringkan 4 gol dan 3 bantuan gol. Turun sebagai pemain terhebat sepanjang zaman, tiada siapa menjangka pemain terbaik dengan pasukan serba lengkap tewas di tangan ‘Zidane’ pada final.

Jadi, istilah Piala Dunia Ronaldo akhirnya menjadi Piala Dunia Zidane!

Insiden Pra-Final Piala Dunia 1998

Pada 12 Julai 1998, Brazil dan Perancis menyerahkan teamsheet pasukan, 72 minit sebelum sepak mula. Pengadil Said Belqola, menerima senarai rasmi yang tiada nama Ronaldo di situ.

Beqola terkejut apabila Ronaldo disenaraikan dalam pasukan pada saat-saat akhir walaupun tidak ada dalam sesi latihan terakhir sebelum perlawanan.

Brazil tewas 3-0 dan Ronaldo hanya menjadi ‘pelancong’ di dalam padang yang menyaksikan persembahan(show) Zidane.

Banyak cerita keluar, termasuk cedera buku lali, keracunan makanan dan masalah peribadi dia dan kekasihnya Susan Werner.

Akhirnya, kebenaran yg mengejutkan didedahkan oleh doktor pasukan Brazil Lidio Toledo.

Toledo berkata:

“Ronaldo dikejarkan ke hospital selepas mengalami konvulsi (kejang otot) ketika tidur, satu malam sebelum final.”

Ronaldo berkata:

“Saya tidak ingat apa dan tidak sedarkan diri. Yang saya ingat, saya pergi untuk tidur, ia seolah-olah berlaku cuma 30 atau 40 saat.”

Bangkit Dari Kecederaan

Ronaldo melupakan kegagalan di Piala Dunia apabila kembali ke Inter untuk musim 99/2000 dengan 14 gol. Pada November 1999, tragedi melanda Ronaldo sekali lagi.

Beliau cedera tendon semasa perlawanan Serie A menentang Lecce. Ia memang kecederaan paling ditakuti mana mana pemain yang jenis sprinter. Beliau disisihkan selama 5 bulan.

Ronaldo kembali dalam final Coppa Italia menentang Lazio, tetapi kesannya lebih parah. Ronaldo diusung keluar padang hanya selepas 7 minit di atas padang. Ini kecederaan kali kedua di ligamen lutut beliau.

Ramai mempertikaikan cara pegawai perubatan dan pengurusan Inter Milan yang terlalu gopoh mahu menggunakan beliau.

Piala Dunia 2002

Selepas berehat lebih setahun, Ronaldo menghubungi pengurus Brazil, Luiz Felipe Scolari. Ronaldo merayu agar Scolari memasukkan beliau dalam skuad untuk Piala Dunia 2002 di Jepun/Korea.

Ronaldo berjanji akan membawa Piala Dunia ke Brazil. Ramai juga yang memperlekehkan tindakan Scolari yang dianggap membawa kuda yang cedera untuk berlumba.

Ronaldo menunaikan janji apabila menjadi pemusnah Jerman di final. Beliau menjaringkan 8 gol dalam kejohanan itu. Kami tidak dapat bayangkan jika Scolari tak memberikan vice versa kepada si rambut ‘Pekan’ ini.

Ia tiba tiba menjadi Piala Dunia Ronaldo yang sebenar setelah ‘dirampas’ Zidane pada 1998.

Kembali Cemerlang Bersama Real Madrid

Aksinya di Piala Dunia 2002 membuatkan Real Madrid melakukan bidaan rekod dunia oleh Inter ketika itu, iaitu €39 juta.

Ronaldo menjaringkan 2 gol pada penampilan sulungnya dan menyumbang 30 gol untuk membantu Real memenangi La Liga.

Walaupun kerap dilanda kecederaan, Ronaldo masih mampu menjaringkan 104 gol dalam 184 perlawanan sepanjang 5 tahun di kelab itu.

Ini termasuk hat-trik yang menakjubkan ke atas Manchester United yang membolehkan beliau menerima tepukan gemuruh di Old Trafford.

Piala Dunia 2006 – Misi Menjadi Penjaring Terbanyak Di Piala Dunia

Ronaldo sekali lagi dipilih mewakili Brazil namun beliau bukan bintang utama. Beliau secara terbuka menyatakan ia lebih kepada urusan peribadi iaitu cuba memecahkan rekod Gerd Muller dengan 14 gol.

Dia berjaya melakukannya tetapi pasukan Brazil ditewaskan oleh Perancis pada suku akhir.

Penurunan Karier

Ronaldo meninggalkan Real Madrid pada 2006. Pada 27 Januari 2007, Ronaldo menyertai AC Milan membentuk gandingan KA-PA-RO (KAKA-PATO-RONALDO). Seperti biasa, dia menjaringkan gol pada debut dengan 2 gol ke atas Livorno.

Di Milan, beliau mencipta rekod sebagai satu-satunya pemain yang pernah menjaringkan gol untuk kedua-dua pasukan dalam derby Milan.

Namun musim tersebut dia berada di tahap bukan ‘Ronaldo’. Hanya 8 gol dijaringkan pada musim pertama. Pada Februari 2008, Ronaldo telah diusung keluar padang selepas mengalami kecederaan ligamen sekali lagi.

Milan tidak memperbaharui kontrak Ronaldo. Dia kembali ke tanah airnya dengan status bintang dengan menyertai Corinthians. Beliau menjaringkan 27 gol dalam 50 penampilan, membantu pasukannya untuk menjuarai Liga.

Selamat Tinggal Bola Sepak

Dengan diiringi air mata, Ronaldo akhirnya membuat keputusan bersara daripada bolasepak pada 2011.

Brasil – São Paulo – SP – 14/02/2011 – Ronaldo emotionally announces his retirement from football.

“Seperti yang anda dengar sepanjang hujung minggu lalu, saya di sini untuk mengesahkan bahawa saya mengakhiri kerjaya saya sebagai pemain profesional,”

Beliau mendedahkan bahawa dia menghidapi hipotiroidisme, penyakit yang memberi kesan kepada metabolisme badan.

“Empat tahun lalu di Milan saya dapati saya telah mengalami simptom yang dipanggil hipotiroidisme.”

“Untuk mengawalnya saya perlu mengambil hormon yang tidak dibenarkan dalam bola sepak. Ia menyalahi undang undang anti-doping. Rasa sakit ini membuatkan saya mengakhiri karier saya.”

“Karier saya cukup indah. Walaupun banyak kekalahan (kesakitan), namun saya ada banyak kemenangan tak terhingga.”

“Yang pasti, saya hanya bersara, bukannya berpisah dengan bola sepak.”

Beliau menamatkan karier dengan 412 gol dalam 601 sudah cukup untuk diiktiraf antara pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dunia. 2 Piala Dunia di dalam koleksi beliau.

Gerakan yg menarik dengan pecutan daripada ‘raksasa’ di dalam padang ini dengan skil yang sangat mengagumkan termasuk gerakan elastico.

Beliau dianggap sebagai pemain paling berbakat/most decorated player. Menjadi simbol pemain bola sepak terbaik pada era beliau dan sejarah bola sepak dunia.

Baca juga: Paolo Maldini, Ikonik No.3 Dan Simbol Pemain Pertahanan Dan Terbaik Sepanjang Zaman

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!


Kongsi