Selepas 16 tahun membantu Brazil muncul juara dunia dengan menewaskan Jerman dengan jaringan 2-0 di Piala Dunia 2002, akhirnya Ronaldo tampil menjelaskan gaya rambut dengan jambul yang diperagakan sepanjang kejohanan tersebut.
Menurut Ronaldo gaya rambut itu sengaja dilakukan begitu untuk mengalih perhatian ramai terutama pihak media mengenai kecederaan yang dialaminya menjelang kejohanan yang dianjurkan secara bersama di Korea Selatan dan Jepun.
Gaya rambut pelik tetapi ikonik oleh Ronaldo di kejohanan tersebut pantas menjadi bualan ramai. Ia turut menjadi ikutan ramai, terutama oleh peminat dan penyokong pasukan Brazil.
Langkah itu ternyata berkesan, setelah Ronaldo menjaringkan dua gol di dalam aksi perlawanan akhir kejohanan tersebut dan muncul sebagai pemenang kasut emas setelah menjaringkan lapan gol keseluruhan dalam kejohanan tersebut.
“Saya mengalami kecederaan pada kaki dan semua orang hanya berbicara mengenai kecederaan tersebut,” kata Ronaldo.
“Oleh itu, saya memutuskan untuk mempunyai gaya rambut sebegitu. Saya kemudiannya hadir ke pusat latihan dengan Brazil dan semua orang melihat saya dengan gaya rambut yang buruk itu.”
“Semua orang mulai berbicara mengenai rambut saya dan melupakan mengenai kecederaan yang saya alami. Ia membantu saya untuk lebih tenang dan fokus untuk latihan dan kejohanan.”
“Saya mengaku bahawa saya tidak berbangga dengan gaya rambut tersebut. Tetapi ia adalah langkah berkesan untuk mengubah perhatian umum pada ketika itu.”
Bercakap mengenai peluang Brazil di Rusia, Ronaldo berharap skuad sedia ada mampu mengakhiri penantian 16 tahun untuk muncul juara Piala Dunia.
“Beberapa pasukan utama dunia yang lain seperti Jerman, Sepanyol dan Perancis juga adalah pasukan yang serba lengkap. Kita kena lihat bagaimana. Saya berharap Brazil mampu menjuarainya,” tambah Ronaldo.
“Saya agak optimis mengenai peluang Brazil. Pasukan ini melalui banyak perubahan sejak dua tahun kebelakangan ini. Brazil mempamerkan peningkatan dengan kehadiran jurulatih baharu,” ujar Ronaldo merujuk kepada Tite yang berjaya mengubah nasib Brazil setelah mengambil alih peranan sebagai pengendali dari Dunga.