Melalui satu pendedahan, bekas penyerang dan legenda Brazil, Ronaldo berkata bahawa beliau telah berhenti daripada mempercayai pihak pengurusan Barcelona sebelum meninggalkan Nou Camp untuk menyertai Inter Milan.
“Saya berhenti memberi kepercayaan kepada mereka di Barcelona, dan ia adalah keputusan yang sangat berbaloi untuk dilakukan,” ujar juara Piala Dunia 2002 itu.
Penyerang Brazil itu menyertai Nerazzurri pada 1997 dan berada selama lima musim di Milan, sambil menjaringkan 59 gol daripada 99 penampilan.
Di dalam tempoh itu, Ronaldo turut pernah tersisih selama dua musim penuh akibat kecederaan.
Ronaldo berkata:
“Saya sedang melakukan rundingan untuk menyambung kontrak, namun saya tidak mahu kekal kerana tidak percayakan pengurusan tertinggi terutama pengarah-pengarah yang berada di kelab berkenaan.”
“Kemudian tawaran daripada Inter tiba.”
“Pada era itu, Serie A adalah liga terbaik dan antara yang paling sukar di dunia. Oleh itu, saya berpendapat ia adalah pilihan terbaik yang perlu saya ambil.”
“Debut saya? Ia sangat tegang tetapi mengujakan. Atmosferanya sangat menarik. San Siro dipenuhi penyokong, dan ia adalah hari yang sangat beremosi buat saya.”
“Bukan sahaja debut, tetapi keseluruhan hari tersebut saya berasa sedemikian.”
“Ia bagaikan kisah cinta yang hebat di antara saya dan Inter. Di sinilah saya digelar II Fenomeno. Gelaran tersebut kekal sehingga ke hari ini, dan saya berterima kasih kepada semua pihak di Inter untuk itu.”
“Saya mahu mengucapkan terima kasih buat semua pihak di Inter yang turut sama menangis ketika saya menangis, dan turut bersama gembira apabila saya meraikan kejayaan,” jelas Ronaldo penuh emosi di dalam majlis memasukkan nama beliau ke Dewan Kemasyuran Beneamata.
Salah satu gol menarik jaringan Ronaldo untuk Inter ialah ketika berhadapan Spartak Moscow di arena lawan dalam saingan Piala UEFA musim 1997/98.
“Cuaca sangat sejuk, berada pada suhu -18°C. Ketika kami tiba, padang diliputi oleh salji, dan perlawanan tertunda selama 2 jam untuk membersihkan salji.
“Penyokong pihak lawan turut menarik perhatian saya kerana masih mampu mewujudkan atmosfera perlawanan seperti perlawanan-perlawanan besar yang lain.”
“Kami memerlukan kemenangan, dan saya menjaringkan satu gol cantik. Tetapi kredit harus diberikan kepada setiap pemain di dalam pasukan kerana menunjukkan permainan yang cemerlang.” tambah Ronaldo lagi.
Selepas karier di Inter, Ronaldo kembali ke La Liga pada 2002 namun menyertai seteru gergasi Catalan tersebut, Real Madrid, dan merupakan antara generasi Galaticos yang dibentuk oleh Los Blancos bersama-sama dengan pemain seperti Zinedine Zidane, Luis Figo, David Beckham, Roberto Carlos dan Steve McManaman.