Bekas penyerang Brazil, Ronaldinho tidak akan didakwa kerana kesalahan menggunakan pasport palsu untuk memasuki Paraguay, kata Ketua Pegawai Penyiasat kes tersebut.
Bekas pemain berusia 39 tahun dan saudara kandungnya sebelum ini telah ditahan untuk disoal siasat pada Khmasis lalu kerana kesalahan berkaitan dokumen palsu.
Pendakwaraya Federico Delfino berkata kedua-duanya sedar mereka telah melakukan kesalahan namun ianya berlaku tanpa disengajakan.
Kedua-duanya kemudian bersetuju untuk melakukan hukuman alternatif lain yang akan ditetapkan kemudian.
“Kami mencari kaedah lain untuk menyelesaikan kesalahan ini, yang tidak melibatkan tuduhan secara rasmi walaupun sedar siapakah pelakunya yang menyebabkan kami terkejut,” kata Delfino kepada wartawan di Asuncion, Paraguay.
Seorang lelaki lain yang turut serta bersama kedua-dua adik beradik itu – lelaki berusia 45 tahun dikenali sebagai Wilmondes Sousa Lira – telah ditahan.
Peguam kepada Ronaldinho, Adolfo Marin gagal dihubungi oleh media untuk sebarang komen buat masa ini.
Kedua-dua adik beradik itu dikatakan meninggalkan Lapangan Terbang Guarulhos pada Rabu dengan pasport Brazil, namun ianya digantikan dengan passport Paraguay sebaik sahaja mendarat di Asuncion.
Menurut Delfino, kedua-duanya memaklumkan pasport tersebut diberikan sebagai pemberian. Siasatan lanjut mededahkan nombor siri pasport tersebut adalah milik individu lain dan telah dipalsukan.
Pemenang Anugerah Pemain Terbaik Dunia sebanyak dua kali itu dilaporkan berada di Paraguay untuk mempromosi buku dan menyokong kempen amal untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik.