Selepas 32 hari meringkuk di penjara Paraguay, seorang hakim mengarahkan Ronaldinho dan abangnya keluar dari penjara semalam selepas peguam mereka membayar duit ikat jamin sebanyak USD1.6 juta (RM6.94 juta).
Bagaimanapun Ronaldinho dan abangnya masih belum bebas 100%. Mereka masih berada di bawah tahanan rumah di sebuah hotel pinggir bandar Asuncion.
Hakim Gustavo Amarilla memberitahu media beliau mengarahkan kedua-dua beradik itu berada di bawah tahanan rumah sementara menunggu perbicaraan mahkamah atas kesalahan menggunakan dokumen palsu untuk memasuki Paraguay.
Di bawah tahanan rumah, Ronaldino perlu mematuhi peraturan-peraturan berikut:
- Boleh keluar rumah tetapi perlu mematuhi perintah berkurung. Tahanan rumah boleh keluar rumah bermula jam 8 pagi. Tetapi perlu balik rumah sebelum jam 7 petang.
- Perlu memakai gelang penggera di kaki. Penggera ini akan berbunyi secara automatik jika tahanan keluar melebihi dari jarak yang dibenarkan.
Sebelum ini, mahkamah telah menolak permohonan Ronaldinho untuk keluar penjara dan menjadi tahanan rumah. Mahkamah memutuskan beliau perlu terus berada di tahanan penjara Paraguay sekurang-kurangnya untuk enam bulan.
Kehadiran Ronaldinho di Paraguay dilaporkan adalah atas jemputan oleh seorang pemilik kasino tempatan untuk tujuan amal.
Ketika berada di penjara, Ronaldinho diberi layanan selebriti dan sempat membantu pasukan banduan menewaskan pasukan pengawal penjara dalam satu perlawanan persahabatan futsal.
Ronaldinho dilaporkan direkrut masuk dalam pasukan banduan yang diketuai oleh Fernando Gonzalez Karjallo – bekas presiden kelab bola sepak divisyen satu Paraguay, Club Sportivo Luqueno.
Sebagai hadiah kerana menang, pasukan Ronaldinho mendapat hadiah makan malam daging babi.
Beliau diberi layanan istimewa di penjara tersebut, memberi autograf dan mendapat pengecualian minum alkohol – barang terlarang dalam penjara – di sana.
Malah beliau turut diberikan peluang makan daging barbeku sempena sambutan hari kelahirannya yang ke-40.
Seperti banduan lain, Ronaldinho turut belajar skil baharu di sana. Ronaldinho dikatakan mengikuti kursus asas pertukangan kayu – program yang sememangnya disediakan untuk banduan di situ.